Sinematografi sangat cantik

- Advertisement -

FILEM: Ali & Ratu Ratu Queens

PENGARAH: Lucky Kuswandi

PENULIS SKRIP: Ginatri S Noer dan Muhammad Zaidy

PELAKON: Iqbaal Ramadhan, Aurora Ribero, Nirina Zubir, Tika Panggabean, Asri Welas, Happy Salma dan Marissa Anita

TERBITAN: Palari Films

ULASAN: Syafil Syazwan Jefri

(Ulasan filem ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan pemerhatian dan pengalamannya menonton filem berkenaan)

AGAK lama juga rasanya saya tidak menonton filem baharu dari negara jiran, Indonesia. Ketika kemunculan filem Ali & Ratu Ratu Queens mula menjadi bualan, saya terus menontonnya.

Sebelum ini, sempat juga saya mencari beberapa maklumat dan membaca sendiri ‘review’ daripada pengkritik serta peminat filem Indonesia.

Ada yang meletakkan Ali & Ratu Ratu Queens sebagai penanda aras baharu filem Indonesia. Itu lagi membuatkan saya lebih teruja untuk menonton.

Secara ringkasnya, Ali & Ratu Ratu Queens mengisahkan mengenai perjalanan dan perjuangan Ali ke New York untuk mencari ibunya yang meninggalkannya sejak kecil dengan alasan mencari rezeki.

Sepanjang dia membesar, dia tinggal bersama bapanya dan apabila bapa meninggal dunia, dia kemudian dijaga oleh ibu dan bapa saudaranya.

Ketika pertama kali meluahkan hasratnya untuk ke New York, Ali mendapat tentangan daripada ibu saudaranya kerana risaukan dia yang masih remaja.

Namun, Ali nekad untuk pergi dan setibanya di New York, dia terus menuju rumah sewa ibunya seperti yang tertera dalam surat lama yang terletak di daerah Queens.

Malangnya, ibunya, Mia tidak lagi menetap di situ dan rumah itu kini disewa empat wanita iaitu bekas rakan serumah ibunya, Parti, Ance, Biyah dan Chinta.

Mereka yang memerlukan wang tambahan untuk membuka restoran membenarkan Ali untuk menyewa di situ. Keempat-empat mereka juga bersetuju untuk membantu Ali mencari Mia.

 

 

ANTARA babak penuh emosi dalam Ali & Ratu Ratu Queens.
ANTARA babak penuh emosi dalam Ali & Ratu Ratu Queens.

Namun, perjuangan Ali tidak semudah yang disangka apabila timbul konflik antara dirinya dengan ibunya, sekali gus menimbulkan salah faham antara dia dengan empat ‘Ratu Ratu Queens’.

Berlatarbelakangkan ibu kota New York, penonton dibawa merasai setiap emosi yang dirasakan Ali dari gembira, bahagia, sedih, ketawa dan tangisan.

Perkara pertama yang menarik perhatian saya adalah sinematografinya yang begitu cantik dan tidak seperti filem Indonesia yang tipikal.

Sesuai dengan platform tayangannya iaitu di Netflix, Ali & Ratu Ratu Queens menampilkan kualiti yang setara dengan filem antarabangsa lain.

Dari segi jalan cerita, ia tidak terlalu berat kerana tanpa perlu banyak berfikir, kita dapat faham apa yang ingin disampaikan.

Tahniah buat gandingan penulis, Ginatri S Noer dan Muhammad Zaidy yang berjaya menghasilkan karya sehebat ini dan digarap oleh pengarah, Lucky Kuswandi dengan baik sekali.

Hasil karya Ginatri juga sebelum ini cukup dikenali dan antara yang saya sempat tonton beberapa tahun lalu adalah Dua Garis Biru, Rudy Habibie serta Habibie & Ainun.

Namun, pada masa sama, Ali & Ratu Ratu Queens tidak hanya ‘mencampakkan’ kisah ibu dan anak secara terlalu ringan kerana ada beberapa babak yang nampaknya bermain dengan emosi.

Yang pasti, durasi 100 minit tidak bergerak dengan terlalu perlahan. Barisan pelakon yang membintangi Ali & Ratu Ratu Queens juga bukan ‘kaleng kaleng’ bak kata orang Indonesia.

Jika ada yang pernah menonton filem Dilan 1990, Dilan 1991, Milea: The Voice of Dilan dan sebagainya, tentu sedia maklum mengenai lakonan Iqbaal yang bersahaja, namun ada karisma.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat