Polis Rakam Kenyataan Peguam Berkaitan Isu Keputusan Mahkamah Boleh Diatur

- Advertisement -

SEPANG – Polis telah merakam kenyataan tiga individu susulan satu laporan polis, setelah seorang peguam dikatakan mendakwa keputusan mahkamah boleh diatur.

Ketua Polis Daerah Sepang, Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, kenyataan itu dirakam daripada tiga peguam berkenaan, pada Ahad dan semalam.

“Ketiga-tiganya diklasifikasikan sebagai saksi kerana siasatan masih dijalankan,” katanya kepada FMT.

Kenyataan dari tiga peguam itu menjadikan sejumlah tujuh orang telah disoal siasat polis setakat ini.

Seorang pegawai khas kepada Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat membuat laporan itu pada 7 Jun lalu berhubung satu pesanan teks yang berpotensi memberikan gambaran buruk kepada badan kehakiman.

Sumber memberitahu FMT, satu daripada pesanan teks itu dihantar kepada seorang anak guam warga asing yang berkata “laluannya dilindungi hingga ke peringkat Ketua Hakim Negara”.

Difahamkan, pesanan-pesanan itu ada kaitan dengan dua rayuan sivil yang ditangguhkan di Mahkamah Rayuan.

Siasatan sedang dilakukan di bawah Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia untuk penggunaan kemudahan rangkaian yang tidak betul, Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana fitnah, dan Seksyen 504 undang-undang yang sama kerana penghinaan yang disengajakan untuk mencetuskan pelanggaran keamanan.

Mereka yang didapati bersalah di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia boleh didenda hingga RM50,000 atau dijatuhkan hukuman penjara maksimum satu tahun, atau kedua-duanya.

Hukuman di bawah Seksyen 500 dan 504 Kanun Keseksaan adalah hukuman penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya.

Ahad lalu, dua peguam terkemuka membuat laporan polis menafikan terbabit dengan sebarang pesanan teks yang menyebutkan nama mereka dan membicarakan mengenai perkara-perkara yang didakwa merosakkan imej kehakiman.

Bekas presiden Majlis Peguam Lim Chee Wee menafikan membuat kenyataan seperti yang dipaparkan dalam pesanan teks di dalam tangkap layar tersebut sementara Rosli Dahlan mendakwa namanya disebut tanpa asas.

Tangkap layar yang memetik nama mereka dan yang meminta agar perkara yang tertangguh di mahkamah itu diselesaikan disiarkan pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown.

Dalam satu kenyataan, Lim berkata mesej teks itu adalah palsu dan tuduhan tidak berasas terhadapnya.

Dalam laporannya Rosli berkata, namanya dimasukkan dalam pesan teks itu tanpa asas dan dia langsung tidak mengetahui pertikaian apa yang dipaparkan dalam tangkap layar tersebut. – FMT

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat