Dua Lokaliti Di Kunak Dikenakan PKPD Bermula Khamis – Ismail Sabri

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di Kampung Pangi Hujung dan Kampung JKR Lama di Kunak, Sabah bermula Khamis ini hingga 7 Julai.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ia dilaksanakan untuk menyekat pergerakan dan penularan jangkitan dari kawasan berisiko keluar dari lokaliti tersebut yang merekodkan jumlah kes COVID-19 yang tinggi hasil daripada ujian saringan yang dilakukan.

“Sehingga kini, Kementerian Kesihatan Maalysia (KKM) telah melakukan 16 ujian saringan di Kampung Pangi Hujung dan 11 kes direkodkan manakala di Kampung JKR Lama, sebanyak 15 kes dikesan hasil daripada 42 saringan di lokaliti tersebut.

Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di dua lokaliti itu,” katanya dalam satu kenyataan mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKPD hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata PKPD di Kampung Kebayau, Kota Belud, Sabah yang dijadualkan tamat esok, dilanjutkan dua minggu lagi sehingga 7 Julai susulan masih terdapat penularan dalam komuniti serta kes baharu di lokaliti terbabit.

Ismail Sabri berkata berikutan penurunan kes serta kluster adalah terkawal, PKPD yang dilaksanakan di Taman Perdana, Lahad Datu, Sabah akan ditamatkan pada 11.59 malam ini manakala PKPD di Kampung Sungai Obar, Batu 7 dan Fasa 9B Taman Indah Jaya di Sandakan, Sabah, serta Kampung Sungai Penchala, Kuala Lumpur, akan ditamatkan esok seperti dijadualkan.

PKPD yang dilaksanakan di Kampung Sin San dan Kampung Singgahmata, Pulau Banggi, Kudat, Sabah turut akan ditamatkan esok, sehari lebih awal daripada dijadualkan.

Mengenai pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKP, beliau berkata seramai 959 individu ditahan atas pelbagai kesalahan semalam dan daripada jumlah itu, 923 dikompaun manakala 36 direman.

Katanya antara kesalahan yang dikesan ialah tiada penjarakan fizikal, gagal merekod butiran diri/daftar masuk premis, tidak memakai pelitup muka dan merentas negeri atau daerah tanpa kebenaran selain makan di dalam premis menjual makanan serta membawa penumpang berlebihan.

Sementara itu, beliau turut menasihatkan masyarakat agar terus mematuhi SOP meskipun jumlah kes jangkitan COVID-19 sejak kebelakangan ini telah menurun sehingga kurang daripada 5,000 kes sehari.

“Dalam keadaan semasa kita tidak boleh selesa dengan trend kes yang dilihat masih tidak stabil dan pematuhan kepada SOP perlu dikekalkan segenap lapisan masyarakat untuk mengurangkan penularan jangkitan sekali gus melandai lengkuk COVID-19.

“Justeru itu, saya berharap semua pihak memainkan peranan ini termasuk meningkatkan kawalan kendiri untuk keselamatan dan kesihatan bersama,” katanya. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat