Muhyiddin dan Risiko Politik Zaman Pandemik

- Advertisement -

Pada ketika angka jangkitan pandemik Covid-19 mencecah 6000 orang sehari, ramai menjangka Kerajaan akan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh seperti Mac 2020 lalu. Pandangan ini diyakini lagi dengan kenyataan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Adham Baba bahawa PKP penuh adalah sesuatu yang perlu dipertimbangkan secara serius.

Namun mesyuarat kerajaan semalam memutuskan untuk meneruskan PKP 3.0 dengan beberapa penambah baik Amalan Pengoperasian Standard (SOP) kepada sektor ekonomi yang masih berfungsi.

Sudah tentu pengumuman ini bertentangan dengan pandangan populis media sosial yang digerakkan oleh pemimpin-pemimpin politik menentang Muhyiddin agar diadakan PKP penuh.

Di sini Perdana Menteri Tan Sri Muhyidddin Yassin berada dua pilihan – menurut pandangan popular media sosial yang boleh berubah beberapa bulan lalu dan memberi kelebihan kepada musuh politiknya; atau mengambil risko yang besar namun sangat kritikal dalam perjalanan politik beliau dengan meneruskan pelan pemulihan negara yang dirancang.

Muhyiddin Yassin sedang mengambil risiko kedua dan beliau tidak akan rugi apa-apa apabila bertindak bertentangan dengan pandangan popular supaya diadakan PKP penuh. Sekiranya diadakan PKP penuh ketika ini, Muhyiddin akan dilihat sebagai tunduk kepada tekanan pemimpin politik di luar kerajaan yang telah berjaya mempengaruhi sebahagian besar rakyat.

Muhyiddin tahu beliau tidak akan diingati apa-apa jika sentiasa bertindak berdasarkan pandangan populis media sosial. Lagi pun beliau sudah tidak popular dan tidak akan menjadi popular hanya dengan mengikut pandangan popular pada saat-saat akhir.

Beliau juga sudah hampir pasti tiada majoriti di Dewan Rakyat dan bergantung kepada proklamasi darurat untuk meneruskan pentadbiran ini.

Oleh kerana pilihan raya umum juga tidak akan diadakan sebelum Oktober tahun ini – bergantung kepada lebih 70% rakyat negara ini divaksin, Muhyiddin ‘membeli masa’ untuk melaksanakan apa yang beliau percaya mampu memulihkan negara.

PKP penuh akan sekali lagi ‘membunuh’ ekonomi negara dan hanya berjaya mengurangkan peningkatan kes Covid-19 buat sementara waktu sahaja.

Justeru Muhyiddin memilih meneruskan pemulihan ekonomi, dan mengurangkan penularan pandemik Covid-19 secara perlahan-lahan.

Buat sementara waktu sebahagian rakyat akan marah, namun ekonomi yang masih bergerak bermakna kerajaan akan ada wang untuk dibelanjakan dalam masa beberapa bulan mendatang. Ekonomi negara juga tidak perlu restart sekali lagi seperti tahun lalu.

Dengan proses vaksinasi akan bergerak pantas pada Jun dan Julai 2021 berikutan kedatangan jutaan dos vaksin, Muhyiddin sedang bermain dengan masa (time).

Kemungkinan Malaysia akan mengalami pemulihan mulai Ogos ini sangat cerah terutama jika kerajaan ada keberanian mengutamakan proses vaksinasi di Lembah Klang yang merupakan pusat perdagangan utama negara.

Muhyiddin sedar dalam politik, segala caci maki yang ada sekarang boleh berubah sekelip mata apabila berlaku perubahan-perubahan peristiwa yang lain.

Suatu masa dahulu Datuk Seri Mohd Najib Razak antara tokoh paling dibenci di media sosial. Namun hari ini beliau adalah tokoh politik paling popular di media sosial. Justeru populariti politik terutama di media sosial dan kalangan rakyat sangat tidak stabil dan sentiasa berubah mengikut isu dan masa.

Muhyiddin mengambil risiko apabila menentang Mohd Najib pada 2015 hingga menyebabkan hilang jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO. Beliau mengambil risiko besar membawa Bersatu keluar dari Pakatan Harapan dan kemudiannya menyingkirkan Tun Dr Mahathir. Namun risiko itu akhirnya meletakkan beliau sebagai Perdana Menteri.

Kali ini beliau mengambil risiko lagi. Jika situasi kenaikan jumlah positif Covid-19 ini berterusan sehingga belasan ribu sehari, Muhyiddin mungkin akan tersingkir dari jawatan Perdana Menteri dan partinya akan kalah dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Tentu sebagai ahli politik berpengalaman Muhyiddin juga sedar beliau boleh tersingkir dari jawatannya walaupun jumlah pesakit menurun, jika dalam masa yang sama ekonomi negara juga merudum, jutaan rakyat hilang pekerjaan dan perniagaan banyak ditutup.

Buktinya, kejayaan kerajaan mengatasi gelombang pertama Covid-19 tidak menghalang usaha menjatuhkannya pada Oktober 2020.

Dalam keadaan ini Muhyiddin mengambil risiko memulihkan negara mengikut kehendaknya. Jika berjaya beliau akan menjadi hero sekali lagi dan boleh membantu beliau menang dalam PRU akan datang.

Jika gagal pun beliau sekadar hilang jawatan – sesuatu yang hampir pasti berlaku beberapa bulan lalu atau beberapa bulan mendatang jika proklamsi darurat dimansuhkan.

Realitinya Muhyiddin sedang bersabar dan menunggu masa yang sesuai untuk kembali menjadi pemimpin popular seperti April 2021. Cuma adakah masa bersama beliau dan apakah strategi ini berupaya memulihkan negara?

Ini adalah risiko politik Muhyiddin dan cabaran buat musuh-musuh politiknya untuk menggagalkan pelan Muhyiddin.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat