Oleh Zihan Zari
KUALA LUMPUR – KEMENTERIAN Pertahanan (MINDEF) sentiasa prihatin dengan nasib dan hal ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), malah aspek kesejahteraan mereka menjadi salah satu teras utama dalam pelan strategik kementerian ini.
Panglima Angkatan Tentera (PAT) , Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Mohammad Ab Rahman, berkata demikian ketika menyempurnakan majlis penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) kepada 463 orang Veteran ATM, balu serta wakil waris di sini pada Rabu.
Katanya, penganugerahan pingat ini merupakan kurniaan atas sikap keperwiraan dan pengorbanan anggota tentera dalam melaksanakan kewajipan kepada negara.
“Ianya merupakan pengiktirafan di atas sifat keperwiraan, keberanian, pengorbanan dan kesetiaan mereka semasa berhadapan dengan ancaman pengganas Parti Komunis Malaya (PKM) suatu ketika dahulu.
Masyarakat haruslah menghargai jasa dan pengorbanan para pahlawan negara sehingga negara ini dapat mengecapi keamanan yang dinikmati pada hari ini,”katanya lagi.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran JHEV ATM, Mejar Jeneral Zambery Jefry Hj. Darus berkata pihaknya akan meneruskan skim-skim bantuan kebajikan, perubatan, pendidikan untuk anak-anak Veteran ATM dan perumahan sedia ada serta terus menambahbaik perkhidmatan dalam agenda memperkasakan kebajikan mereka.
Pihaknya juga akan meneruskan usaha untuk mencari pendekatan terbaik dalam meningkatkan taraf kehidupan Veteran ATM khususnya dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu dan kos sara hidup yang meningkat.
Menurut Zambery, setakat ini seramai 41,331 warga Veteran ATM telah menerima PJM di atas kejayaan mereka membanteras ancaman komunis selain memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan untuk melayakkan mereka dianugerahkan dengan PJM.
Antaranya telah berkhidmat atau terlibat dalam operasi secara berterusan selama 3 bulan dan ke atas atau telah bertugas secara langsung tidak kurang dari 6 bulan di mana-mana pasukan atau formasi ATM bagi tempoh dari 1 Januari 1969 hingga 2 Disember 1989 bagi operasi menentang PKM.
Syarat lain, mereka telah berkhidmat atau terlibat dalam operasi secara berterusan selama 3 bulan dan ke atas atau telah bertugas secara tidak langsung tidak kurang dari 6 bulan di mana-mana pasukan atau formasi ATM bagi tempoh 1 Januari 1969 hingga 17 Oktober 1990 bagi operasi menentang pengganas Parti Komunis Kalimantan Utara (PKKU).
Selain itu mereka terbunuh, cedera atau menjadi kurang upaya disebabkan oleh tugas menentang pengganas Parti PKM bagi tempoh 1 Januari 1969 hingga 2 Disember 1989 atau pengganas PKKU bagi tempoh 1 Januari 1969 hingga 17 Oktober 1990, ”katanya.
“Sesuai dengan tarafnya sebagai ‘campaign medal’ berlandaskan pengorbanan dan perjuangan yang tidak berbelah bahagi semasa darurat dahulu, PJM telah dimartabatkan sebagai pingat yang lebih kanan dalam susunannya berbanding dengan Pingat Perkhidmatan Negara Bangsa-bangsa Bersatu (PNBB) dan Pingat Perkhidmatan Setia (PPS), ”ujarnya.
“Pengurniaannya adalah refleksi terhadap suatu pengorbanan yang amat besar, diiktiraf oleh rakyat dan negara dalam menggalas tanggungjawab menjaga kedaulatan dan keselamatan negara dengan penuh taat setia, ”ujarnya lagi. -SUARA.TV