Kuasa Veto Zahid Hamidi, Menyelamatkan Maruah UMNO

- Advertisement -

Oleh: Ahmad Soffian Bin Mohd Shariff

MUNGKIN apabila Presiden UMNO, YB Datuk Seri Zahid Hamidi dikatakan menolak cadangan MT UMNO untuk meneruskan kerjasama di dalam Perikatan Nasional dilihat sebagai satu perkara negatif oleh ramai pihak.

Namun begitu, dari konteks politik, apa yang dilakukan oleh Zahid Hamidi itu merupakan satu tindakan paling berani bagi seorang presiden parti politik, apabila berdepan dengan ancaman hebat daripada serangan bertali arus dari frenemy (rakan/musuh) daripada Perikatan Nasional, khususnya PPBM.

Kita perlu ingat, pada ketika ini walaupun UMNO telah dijemput untuk bersama-sama menerajui kerajaan, tetapi UMNO bukanlah kerajaan dan bukan juga pembangkang. Di sini, kita dapat melihat bahawa UMNO berada pada sudut yang sangat sukar, malah boleh dikatakan paling sukar, sejak dari penubuhan parti Melayu terbesar itu pada tahun 1946.

Zahid Hamidi boleh sahaja mengambil jalan mudah untuk terus bersengkongkol dengan PPBM dan mendapat laba dari posisi Perikatan Nasional yang telah berjaya memegang tampuk pemerintahan negara tanpa mandat sebenar daripada rakyat.

Tetapi beliau dengan beraninya menentang kebobrokan yang dibawa oleh PPBM dengan berdiri teguh untuk mempertahankan parti beliau, walaupun dikecam hebat oleh sebahagian daripada ahli UMNO sendiri.

Penulis bukanlah seorang yang meminati gaya pentadbiran Zahid Hamidi semasa beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri ataupun menjawat jawatan menteri kanan pra PRU-14 yang lepas, namun apa yang beliau lakukan pada ketika ini harus diberikan pujian.

Tatkala beliau sedang berhadapan dengan kes mahkamah dan kebanyakkan pemimpin kanan UMNO begitu takut untuk kehilangan jawatan yang besar-besar di dalam kapal Perikatan Nasional, Zahid Hamidi jelas bertindak demi kepentingan partinya sendiri.

Di dalam politik, adalah mudah untuk kita lihat golongan yang lebih suka bersenang lenang berbanding berjuang demi ideologi dan kepentingan parti. Lihat sahaja kepimpinan PAS yang sebelum ini sebegitu akrab dengan UMNO di dalam agenda Muafakat Nasional. Apabila telah merasa kuasa dan mendapat kesenangan, terdapat tanda-tanda bahawa mereka lebih gemar bersama PPBM berbanding UMNO.

Tindak tanduk PAS pada ketika ini seolah-olah membenarkan segala tuduhan yang dilemparkan oleh bekas rakan-rakan mereka di dalam Parti Amanah Negara (PAN) yang sering mengkritik golongan agamawan ini kerana disifatkan mereka lebih suka bersenang lenang dari berjuang.

Tahniah diucapkan kepada Presiden UMNO, YB Datuk Seri Zahid Hamidi di dalam langkah beliau untuk memperbetulkan keadaan yang telah menjadi semakin rumit. Masyarakat perlu sedar bahawa pada ketika ini, UMNO dan Barisan Nasional tidak memerlukan sesiapa. Mereka telah kalah pada pilihan raya yang lepas dan sudah merasa menjadi pembangkang.

Malah semasa menjadi pembangkang, mereka ternyata lebih bagus berbanding Pakatan Harapan ataupun Pakatan Rakyat sebelum itu. Jangan kerana kemaruk kuasa, ahli-ahli UMNO sanggup meninggalkan perjuangan UMNO dan menurut sahaja kehendak PPBM, sebuah parti serpihan UMNO yang tidak mempunyai pemimpin berkaliber selain Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bayangkan, kalau pemimpin sehebat YB Datuk Seri Azmin Ali yang pernah menjadi Timbalan Presiden Keadilan dan YB Datuk Zuraida Kamaruddin yang pernah menjadi Ketua Wanita Pakatan Harapan pun boleh diketepikan oleh PPBM untuk diberikan jawatan penting di dalam parti mereka sendiri, inikan pula beberapa pemimpin UMNO dan PAS yang baharu sahaja menyertai gabungan mereka. Sudah tentu nilainya hanya sebagai pelengkap sokongan sahaja dan tidak lebih dari itu.

PPBM adalah sebuah parti yang terlalu angkuh dan dihuni oleh golongan yang tidak tahu apakah itu perjuangan sebenar dalam mempertahankan hak rakyat. Lihat sahaja gagasan pemimpin muda PPBM, saban hari kita disajikan dengan pelbagai berita tidak enak mengenai mereka, terutamanya yang melibatkan penggunaan najis dadah dan kedangkalan pemikiran mat-mat teori yang tidak bersandarkan fakta atau realiti. Pemimpin wanita mereka pula lebih gemar berdandan berbanding membantu rakyat walaupun sudah berada di tampuk kuasa.

Jadi lebih baik UMNO dan Barisan Nasional meninggalkan gabungan parti-parti ini dah terus merencana hala tuju yang lebih baik demi masa hadapan agama, bangsa dan negara yang lebih gemilang.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat