Kecenderungan Anwar kepada China, kerana mereka melabur lebih banyak

- Advertisement -

Dalam arus perubahan geopolitik global, Malaysia berada di persimpangan yang kritikal. Perubahan dasar “Pandang ke Timur” yang kini merangkumi China, bukan hanya sebuah langkah diplomasi, tetapi juga sebuah pertaruhan dalam menyeimbangkan kepentingan ekonomi dan kedaulatan nasional.

Ini bukan sekadar perubahan arah, tetapi juga refleksi strategi luar negara yang membawa implikasi mendalam. Ini merupakan perubahan signifikan dari fokus asal dasar ini yang lebih tertumpu kepada Jepun dan Korea Selatan. Namun, perubahan ini menimbulkan kebimbangan serius mengenai sejauh mana kepentingan ekonomi mengatasi kepentingan nasional dan kedaulatan Malaysia.

Anwar, dalam lawatannya ke Tokyo, seperti yang dilaporkan di media menekankan pentingnya mengembangkan dasar yang telah berusia puluhan tahun ini, dengan mengambil kira aspek-aspek yang masih memberi manfaat. Namun, ketika ditanya oleh media tentang APEC 2023 di Amerika Syarikat baru-baru ini, Anwar Ibrahim telah menyatakan Malaysia terarah kepada China “kerana mereka melabur lebih banyak”, menjadi tanda tanya. Adakah ini menunjukkan pendirian Malaysia yang lebih mengutamakan keuntungan ekonomi daripada mempertahankan prinsip dan kedaulatan negara?

Baru-baru ini, dalam rangka Ulang Tahun ke-50 Hubungan China-Malaysia, Menteri Pelancongan Malaysia telah mengumumkan bahawa pemegang pas MM2H status platinum akan diberikan status Penduduk Tetap (PR) secara automatik. Langkah ini, yang jelas menguntungkan warga China, menambah lagi bukti kecenderungan kerajaan Anwar Ibrahim untuk melebihkan hubungan dengan China.

Kita tidak boleh menafikan bahawa China, sebagai kuasa ekonomi besar, memang berpotensi untuk memberikan sumbangan yang signifikan kepada ekonomi Malaysia. Namun, pendekatan ini harus diimbangi dengan pertimbangan yang cermat terhadap implikasi jangka panjang, terutama dalam konteks pertikaian wilayah di Laut China Selatan. Anwar ada mengatakan bahawa Malaysia akan tetap tegas berunding dengan China berhubung isu ini, tetapi adakah kebergantungan ekonomi dan pelaburan dari China akan mengikis kemampuan Malaysia untuk berdiri teguh dalam menegakkan kedaulatannya?

China, sebagai kuasa ekonomi global, menawarkan peluang ekonomi yang signifikan. Namun, kebergantungan yang berlebihan pada pelaburan China boleh menimbulkan risiko terhadap kebebasan ekonomi Malaysia dalam jangka panjang. Kebergantungan yang tinggi pada satu negara boleh mengurangkan fleksibiliti Malaysia dalam membuat keputusan ekonomi dan politik.

Gajah sama gajah berjuang, pelanduk tersepit di tengah-tengah

Kita harus ingat bahawa hubungan luar negeri yang seimbang dan berprinsip adalah kunci untuk memastikan kedaulatan dan keamanan jangka panjang sebuah negara. Sementara pelaburan asing adalah penting, ia tidak boleh menjadi faktor tunggal yang menentukan arah dasar luar negeri kita. Malaysia perlu berhati-hati agar tidak terjebak dalam permainan kuasa antarabangsa yang boleh mengorbankan kepentingan nasional kita.

Dalam konteks ini, kerajaan Malaysia perlu melakukan penilaian yang lebih komprehensif dan berbilang dimensi dalam menangani hubungan dengan China. Ini termasuk mempertimbangkan faktor-faktor seperti hak asasi manusia, kestabilan geopolitik, dan kesan jangka panjang terhadap ekonomi dan keamanan nasional. Pendekatan yang terlalu condong kepada keuntungan ekonomi jangka pendek boleh membawa risiko yang tidak diingini dan mungkin merosakkan reputasi Malaysia sebagai negara yang berdaulat dan bebas.

Malaysia, dalam usahanya untuk memajukan ekonomi, harus berhati-hati agar tidak mengorbankan prinsip kedaulatan dan kepentingan nasional. Keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi dan pemeliharaan nilai-nilai demokratik serta kedaulatan harus menjadi fokus utama. Keputusan Anwar Ibrahim tidak seiring dengan prinsip beliau selama ini bahawa Malaysia perlu “teguh dan bebas” dalam dasar luarnya, kerana jelas tindakan beliau sejak menjadi Perdana Menteri banyak memihak kepada China.

Dasar luar negara harus sederap dengan dasar ekonomi negara tetapi ini harus dilakukan dengan mempertimbangkan semua aspek – ekonomi, politik, sosial, dan budaya.
Dalam melayari lanskap geopolitik yang serba tidak menentu, Malaysia harus mengambil pendekatan yang lebih menyeluruh dan berbilang dimensi.

Ini bukan hanya tentang memilih antara Timur atau Barat, tetapi tentang membangun sebuah masa depan di mana Malaysia dapat berdiri dengan kedaulatannya yang utuh, sambil memanfaatkan peluang ekonomi global dengan bijaksana.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat