Amen Khalid teruskan legasi Papa

- Advertisement -

TANJUNG MALIM: Sejak pemergian sutradara tersohor, Allahyarham Mamat Khalid, anaknya, Mohamad Khalid Amen Mohamad, 25, memikul tugas di kerusi pengarah demi meneruskan perjuangan bapanya yang belum selesai.

Biarpun bukan mudah meneruskan legasi bapa yang diiktiraf ramai, Mohamad Khalid Amen atau Amen Khalid tetap bersemangat dan punya bakat sendiri yang mahu diketengahkan.

Keupayaan dan kegigihan Amen mengambil alih projek telefilem Kampung Pisang Berbuah Dua Kali membuktikan dia mampu mengikut jejak Allahyarham Mamat.

Amen memberitahu, penggambaran telefilem Kampung Pisang Berbuah Dua Kali yang bermula 15 November lalu berakhir 10 hari kemudian di lokasi seperti Teluk Senangin, Lumut dan Kuala Kangsar, Perak.

“Dua minggu sebelum ayah meninggal dunia, arwah sempat menulis skrip dan dialog. Namun, tidak siap sepenuhnya. Saya ambil alih dan selesaikan skrip itu.

 

Amen berharap sokongan semua pihak terutama peminat karya arwah Papa dalam meneruskan legasi Allahyarham Mamat Khalid. Foto NSTP/Sharul Hafiz Zam
Amen berharap sokongan semua pihak terutama peminat karya arwah Papa dalam meneruskan legasi Allahyarham Mamat Khalid. Foto NSTP/Sharul Hafiz Zam

“Berkat sokongan keluarga terutama Mama, sahabat Papa, kru dan pelakon, akhirnya saya berjaya menyiapkan telefilem yang diilhamkan Papa,” katanya ditemui selepas majlis perasmian Anjung Tradisi 3.0 – Lestari Warisan : Ekspresi Cinta Mamat Khalid Terhadap Tradisi Melayu di Sarang Art Hub, di sini, baru-baru ini.

Program anjuran Persatuan Anak Seni Sarang Malaysia (PASSM) bertujuan menyemarakkan semula kepelbagaian dalam kesenian dan kebudayaan rakyat.

Program itu bertujuan meneruskan kesinambungan usaha Allahyarham Mamat mengilhamkan Siri Anjung Tradisi sejak 2018.

Amen berkata, telefilem Kampung Pisang Berbuah Dua Kali mengekalkan cerita dan pelakon asal seperti dirancang arwah iaitu Bell Ngasri, Kazar Saisi, Aziz M Osman, Mat London, Ahmad Yassin dan Rashid Othman.

Tambahnya, pelakon lain seperti Lina Azman, Azman Naim, Wei Tien dan Nisha Anis turut membintangi telefilem itu yang dijangka ditayangkan Astro First, tahun depan.

Ditanya pengalaman sepanjang penggambaran, Amen mengaku hatinya bercampur baur.

“Saya pendamkan perasaan itu kerana mahu buat sehabis baik bagi menyempurnakan hasrat arwah Papa sebelum pergi buat selama-selamanya.

“Saya mengaku tidaklah sehebat arwah. Namun, berilah peluang dan sokongan kepada saya bagi meneruskan legasi arwah dengan cara tersendiri,” katanya.

Amen berkata, dia dapat merasai pengalaman dilalui arwah dalam menyiapkan projek telefilem.

“Arwah suka membuat perancangan awal melalui catatan dalam apa juga perkara. Inilah yang menjadi panduan buat saya dan keluarga.

“Berilah saya peluang untuk meneruskan perjuangan arwah,” katanya.

Amen Khalid mengaku bukan mudah merealisasikan hasrat dan cita-cita arwah. Namun, dia percaya dengan sokongan ahli keluarga terutama ibu, Hasmah Hassan, pasti impian tercapai.

Allahyarham Mamat atau nama sebenar, Mohamad Mohamad Khalid, 58, menghembuskan nafas terakhir ketika dalam perjalanan ke Hospital Slim River, Perak pada 24 Oktober lalu, jam 12.30 tengah malam.

Allahyarham meninggalkan balu, Hasmah Hassan dan lima anak. Selain Amen, arwah dan isteri dikurniakan empat anak lain iaitu Mohd Khalid Zaffa, Nor Sara, Mohd Khalid Adam dan Nur Hassanah.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat