PRN Sabah : Armizan jangan alih isu, jawab kegagalan GRS – Bung Moktar

KOTA KINABALU — Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mendakwa Timbalan Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali sebagai gagal memahami realiti pentadbiran Sabah dan hanya menyerang UMNO bagi menutup kelemahan kerajaan negeri.

Dalam wawancara eksklusif bersama Suara TV, Bung menolak tuduhan Armizan yang mendakwanya sebagai punca ketidakstabilan politik Sabah, sambil menyifatkan kenyataan tersebut sebagai dangkal dan menunjukkan betapa lemahnya pemahaman pemimpin GRS itu terhadap struktur kuasa negeri.

“Kalau saya panggil dia bodoh, mungkin dia marah. Tapi rakyat saya yang panggil dia bodoh. Menteri bodoh itu, rakyat bilang. Jadi kamu boleh tulis bukan saya yang cakap, rakyat saya yang bilang,” ujarnya secara sinis ketika mengulas serangan terbaru Armizan terhadap beliau.

Bung menjelaskan, Armizan tidak memahami bagaimana pentadbiran Sabah berfungsi, kerana realiti yang berlaku ialah segala kuasa meluluskan projek dan perbelanjaan negeri tertumpu hanya kepada Ketua Menteri dan Menteri Kewangan.

“Saya sudah katakan bahawa di Sabah ini, kuasa sebenar berada di tangan Ketua Menteri dan Menteri Kewangan. Soal Timbalan Ketua Menteri itu, orang bilang dia nampak gah, tapi apa pun dia tidak ada kuasa.

“RM50 ribu pun dia tidak boleh luluskan. Jadi apa yang saya gagal? Ini masalah Armizan.
Kalau dia mahu berpolitik dengan saya, berpolitiklah secara bijaksana, guna otak yang matang,” jelasnya.

Menurut Bung, ketika menjadi Menteri Kerja Raya Sabah, beliau sendiri berdepan kekangan kuasa sehingga projek bernilai kecil sekalipun tidak dapat diluluskan kerana tertakluk kepada satu pusat kuasa.

Beliau kemudiannya mencabar Armizan untuk berdebat secara terbuka mengenai prestasi pentadbiran negeri, projek mega, isu rakyat, integriti kewangan dan hala tuju Sabah.

“Kalau dia mahu berdebat dengan saya, saya sedia di mana-mana. Itu Armizan saya cabar dia. Mana tempat pun boleh. Tajuk pun dia pilih. Saya gagal kah? Atau kerajaan mereka sendiri yang gagal?

“Jangan dia cuba mengugut saya. Dia salah orang. Orang lain dia boleh jolok, saya jangan. Saya boleh berdebat dengan dia , di Parlimen boleh, di DUN boleh, di kaki lima pun boleh, di rumah dia pun boleh kalau dia mahu,” tegasnya.

Beliau turut merujuk kepada beberapa video tular mengenai proses pemberian projek kerajaan sebagai bukti wujudnya masalah serius dalam pentadbiran GRS.

“Jangan berlagak dengan saya. Yang gagal adalah Ketua Menteri. Dia sapu semua projek. Video-video yang tular pun sudah jelas.

“Armizan pun menyapu projek juga. Kalau dia mahu cabar lagi, kalau dia jolok saya, dia sendiri yang susah nanti,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat