KUCHING – Sarawak mahu melahirkan lebih ramai tenaga pakar tempatan yang mampu mencipta, mengendalikan dan membangunkan teknologi sendiri bagi memenuhi keperluan industri masa depan.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata kekayaan sumber asli sahaja tidak mencukupi untuk menjamin kemajuan jangka panjang negeri itu. Sarawak memerlukan lebih ramai pakar dalam bidang seperti pengaturcaraan, sains data, keselamatan siber, kejuruteraan dan teknologi pintar.
“Pada masa sama, teknologi yang dibangunkan mesti dapat menyelesaikan masalah sebenar, sama ada dalam pertanian, pengangkutan, perkhidmatan awam, industri atau perniagaan kecil.
“Sarawak kini mendapat perhatian masyarakat antarabangsa sebagai destinasi pelaburan. Kepakaran akan membolehkan kita mencapai kejayaan,” katanya ketika berucap pada Majlis Konvokesyen Ke-28 Universiti Teknologi Sarawak Tun Openg di sini hari ini.
Abang Johari, yang juga canselor universiti itu, berkata kerjasama antara kerajaan, industri dan institusi pengajian tinggi perlu diperkukuh supaya rakyat Sarawak turut menikmati manfaat pembangunan ekonomi.
Beliau berkata sektor angkasa dan aeroangkasa antara bidang yang berpotensi untuk dibangunkan. Teknologi satelit dan penderiaan jauh, misalnya, boleh digunakan untuk pemetaan, pemantauan alam sekitar, pengurusan sumber dan perancangan pembangunan.
Sarawak menyasarkan pelancaran nanosatelit pertamanya berasaskan teknologi CubeSat menjelang 2030. Kerajaan negeri turut memperuntukkan RM1.5 juta menerusi Belanjawan Sarawak 2027 bagi kajian pelan induk pembangunan sektor angkasa dan aeroangkasa negeri.
Dalam usaha memperluas akses kepada pendidikan tinggi, kerajaan negeri memperuntukkan RM200 juta untuk meneruskan Skim Pendidikan Tinggi Percuma (FTES) pada 2027, yang dijangka memanfaatkan sehingga 10,000 pelajar.
“Saya mahu setiap rakyat Sarawak memahami bahawa peluang pendidikan datang bersama tanggungjawab. Gunakan peluang ini sebaik-baiknya untuk menimba ilmu, meningkatkan kemahiran dan membina masa depan yang lebih baik,” katanya.
Seramai 597 graduan menerima skrol pada majlis konvokesyen itu. — Bernama



