KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ‘pilih bulu’ dalam usaha memerangi rasuah seperti yang dilaungnya.
Ketua Pembangkang Pahang itu mempersoalkan, “bagaimana seorang Perdana Menteri boleh melaungkan perang terhadap rasuah, sedangkan isu membabitkan Setiausaha Politik Kanan beliau hanya dijawab dengan teguran dalaman?
“Pejabat PM adalah jantung pentadbiran negara dan ia mesti menjadi contoh ketelusan, bukan perlindungan.
“Lebih membimbangkan, corak perlindungan ini berulang. Apabila kes melibatkan individu rapat dengan PM dan kerajaan PH-BN, pendirian beliau tiba-tiba lembut dan longgar.
“Namun apabila kes melibatkan pihak lawan, beliau begitu lantang dan agresif. Sikap memilih bulu ini bukan sahaja memalukan institusi Perdana Menteri, malah membenarkan pandangan rakyat bahawa PM hanyalah beretorik.
“Jika PM benar-benar serius memerangi rasuah, beliau mesti berani membersihkan lingkungannya sendiri dengan mengarahkan siasatan SPRM secara menyeluruh, bukan sekadar memberi amaran. Ketegasan tidak boleh selektif,” tegur Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian itu.
Justeru beliau mengingatkan, rakyat Sabah supaya membuat keputusan tegas pada 29 November ini.
“Mereka tidak boleh membenarkan diri mereka terpalit dengan imej menyokong rasuah. Cara paling jelas ialah menolak calon-calon PH-BN yang kini terbukti gagal menunjukkan integriti.
“Jawapan PM di Parlimen pada 18 November 2025 sekali lagi menyerlahkan sikap sambil lewa beliau dalam isu rasuah di bawah pentadbirannya sendiri.
“Rakyat Sabah berhak kepada kepimpinan yang benar-benar jujur, bukan slogan kosong. Masa depan negeri ini terlalu berharga untuk diserahkan kepada parti yang tidak mampu menjaga integriti sendiri.
“Sabah perlukan kepimpinan sebenar — bukan retorik,” tegas Tuan Ibrahim lagi.



