KUALA LUMPUR — Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) menyelar kenyataan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng yang mempertikaikan kehadiran delegasi Menteri Pendidikan Afghanistan pimpinan Taliban ke Malaysia baru baru ini.
Ahli Parlimen Kubang Kerian Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata pihaknya menyambut baik jalinan kerjasama Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Menteri Pendidikan Afghanistan itu.
“Kami menyokong dan menyeru Menteri Pendidikan memberikan kepakaran dan ilmu demi membangunkan Afghanistan sebagaimana Malaysia pernah beri bantuan sama kepada mana-mana negara yang baru mencapai kemerdekaan, bagi berkongsi kepakaran yang kita ada dengan mereka.
“Kita juga menyambut baik langkah yang sudah diambil oleh Menteri Pendidikan Afghanistan dan Malaysia yang menjalin hubungan kerajasama dalam bidang pendidikan yang kita fikir sebagai sebuah negara kedepan dalam bidang ini,” katanya semasa sidang media di Parlimen hari ini.
Semalam Pengerusi DAP, Lim Guan Eng mendesak Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memberi penjelasan berhubung lawatan delegasi Kementerian Pendidikan Afghanistan pimpinan kerajaan Taliban baru baru ini.
Lim mempersoalkan mengapa Kementerian Pendidikan membenarkan lawatan tersebut diadakan sedangkan umum mengetahui Afghanistan adalah satu-satunya negara di dunia yang melarang golongan wanita belajar di peringkat sekolah menengah dan universiti.
Lim turut menyatakan pihaknya tidak diberitahu mengenai lawatan itu dan hanya mengetahui melalui laporan yang diterbitkan sebuah portal dalam talian, baru-baru ini.
Terdahulu Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mengesahkan kementeriannya menjadi tuan rumah kepada delegasi Kementerian Pendidikan Afghanistan pimpinan Taliban awal bulan ini.
Delegasi itu turut menyertai beberapa siri perbincangan mengenai pendidikan semasa mereka berada di sini.