KUALA LUMPUR – Radio Televisyen Malaysia (RTM) atau Jabatan Penyiaran Malaysia menjelaskan proses pembayaran perkhidmatan bagi semua piecemeal di RTM kini menggunakan sepenuhnya kaedah Tatacara Perolehan WP10.9.
Ini bermakna bayaran bagi perkhidmatan akan diterima dalam tempoh 7 hingga 14 hari bekerja selepas dokumen lengkap diterima.
Bahagian Perhubungan Awam Jabatan Penyiaran Malaysia dalam kenyataan pada Khamis berkata, isu kelewatan bayaran perkhidmatan tenaga kreatif (piecemeal) RTM yang tular ketika ini adalah isu terpencil.
“Aduan tersebut dibuat seorang piecemeal yang baharu mula bertugas dengan RTM bulan lepas (Oktober 2024).
“Proses pembayaran perkhidmatan bagi semua Piecemeal di RTM kini menggunakan sepenuhnya kaedah Tatacara Perolehan WP10.9 iaitu bayaran bagi perkhidmatan akan diterima dalam tempoh 7 hingga 14 hari bekerja selepas dokumen lengkap diterima.
“Piecemeal berkenaan sebelum ini telah menghantar dokumen tuntutan yang tidak lengkap dan diminta untuk melengkapkan semula dokumen sebelum boleh diproses,” kata kenyataan itu.
Mengulas lanjut, pihak RTM sentiasa memastikan pembayaran perkhidmatan kepada piecemeal dibuat secara teratur dan mematuhi tatacara kewangan yang berkuatkuasa.
Kenyataan ini menyusul susulan, seorang wanita mendedahkan tunggakan gaji yang dihadapinya ketika bekerja dengan badan penyiaran milik kerajaan, RTM.
Menerusi platform X, wanita yang dikenali sebagai Noor Ainun Jariah Noor Harun mendakwa telah dua bulan bekerja sebagai editor Bahasa Inggeris di RTM dan masih belum menerima gajinya.
Menurutnya lagi, pihak atasan berikan pelbagai alasan apabila dia mempersoalkan isu tersebut, termasuklah admin bercuti, admin sakit, dan admin baru.
Walaupun RTM sering memberi jaminan bahawa gaji akan dibayar tetapi lambat, Ainun menyifatkan situasi ini sebagai satu tindakan yang tidak bertanggungjawab.
Katanya, aduan yang dibuat kepada pihak atasan hanya penyelesaian sementara saja.