Bayi Tiga Bulan Jadi Mangsa Cecair Vape – KKM

- Advertisement -

GEORGE TOWN – Bayi berusia tiga bulan antara mangsa yang paling muda dilaporkan terlibat dengan kes keracunan cecair rokok elektronik atau vape. Itu adalah antara puluhan kejadian yang dilaporkan kepada Pusat Racun Negara (PRN) di Universiti Sains Malaysia (USM) disebabkan oleh kelalaian ibu bapa.

Pegawai Farmasi Sulastri Samsudin berkata, sejak Talian Kecemasan Keracunan dibuka pada 2015 pihaknya telah menerima 57 panggilan kes berkaitan vape dengan peningkatan ketara pada dua tahun kebelakangan ini.

Menurutnya, kebanyakan kanak-kanak yang dilapor terbabit kes keracunan cecair vape adalah terdiri daripada usia satu hingga empat tahun.

Dalam pada itu, Sulastri berkata, terdapat juga kes yang menunjukkan gejala teruk seperti sawan, gangguan metabolik darah dan gangguan psikologi disyaki akibat penambahan bahan terlarang seperti psilocybin iaitu sejenis dadah berbahaya.

“Mengikut data kami, sebanyak 13 kes dilapor pada 2020, manakala 2021 kesnya bertambah dua kali ganda kepada 21 kes dan pada tahun lalu juga, PRN menerima notifikasi satu kes pendedahan vape yang kemudian dikenali sebagai penyakit paru-paru berkaitan dengan produk rokok elektronik atau EVALI pertama dikesan di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, PRN USM menyokong sepenuhnya cadangan Kementerian Kesihatan Malaysia untuk mewujudkan akta baharu kawalan tembakau dan produk merokok.

Tegasnya, jika tiada peruntukan Rang Undang-Undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok dan pelaksanaan Generation Endgame (GEG) atau generasi penamat, negara akan mempunyai generasi depan dengan ketagihan nikotin.

Sementara itu, Pegawai Sains Dr Normaliza Abdul Manaf berkata, dalam kebanyakan kes yang membabitkan pendedahan vape, kandungan cecairnya tidak dapat dikenal pasti melainkan bahan asas yang terdapat pada label iaitu propilena glikol, gliserin dan bahan perisa.

Sehubungan itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengiktiraf Makmal Toksikologi PRN (PRNLab) sebagai makmal bagi menjalankan analisa bahan kimia terhadap cecair vape membabitkan kes EVALI bagi pemantauan serta mengenal pasti bahan toksik berkaitan dengannya.

Katanya, ujian makmal spesifik yang diminta bagi pengesahan EVALI termasuk pengesahan propilena glikol, gliserin, gliserol dan nikotin selain ujian makmal tambahan vitamin E-asetat dan logam berat.

“PRNLab pernah menerima sebanyak 11 sampel cecair dari KKM susulan penemuan kemungkinan kes EVALI dan keputusan analisa makmal mendapati kesemua sampel mengandungi propilena glikol, gliserol dan nikotin selain beberapa daripadanya mengandungi bahan perisa seperti vanillin, ethyl vanillin, ethyl maltol dan benzyl alkohol.

“Ada sampel yang dianalisa tidak dapat dikesan bahan perisanya seperti yang tertera pada label botol dan ada juga bahan perisa dikesan dalam sampel, tidak sama dengan yang dilabel pada botol,” katanya lagi.

Sementara itu, suara menjadi serak dan hilang perlahan lahan antara simptom awal yang dirasai seorang perokok tegar, Shamsul Rizal Ramli yang mengalami sebelum dia disahkan menghidap kanser tekak tahap tiga.

Disebabkan tabiat buruk merokok itu, kini terpaksa bertutur menggunakan alat khas yang dipanggil elektrolaryng menyebabkan suara yang dikeluarkan seakan robot

Menceritakan kisah hitam yang menghantui dirinya sebelum ini, lelaki berusia 46 tahun ini berkata, dia mula terjebak dengan tabiat merokok seawal usia 13 tahun kerana pergaulan bersama rakan sebaya.

“Apabila mula bekerja, saya mula menjadi ‘heavy smoker’ dengan anggaran dua hingga tiga kotak sehari dengan perbelanjaan dikeluarkan kira-kira RM300 hingga RM400 sebulan.

“Keadaan ini hanya berkurangan apabila saya bertukar profesion sebagai seorang guru namun masih kekal dengan sekotak rokok sehari,” katanya.

Mengimbau kembali pengalamannya, Shamsul Rizal berkata, pada awal 2014 dia mula merasakan sesuatu yang tidak kena dengan suara yang menjadi semakin perlahan sehingga sukar untuk menjerit.

“Pada pertengahan 2014 suara semakin teruk dan memutuskan untuk berjumpa dengan pakar di sebuah hospital swasta sebelum disahkan ketumbuhan pada bahagian dalam tekak.

“Pemeriksaan lanjut di sebuah hospital kerajaan menerusi pemeriksaan biopsi ternyata ketumbuhan di tekak adalah kanser peti suara tahap tiga,” katanya.

Tambahnya, keputusan memperkenalkan akta baharu anti tembakau memang tepat supaya generasi akan datang tidak didedahkan dengan sebarang produk tembakau atau rokok elektronik.

Katanya, tiada istilah bertukar rokok tembakau kepada vape dengan alasan mahu mengurangkan ketagihan merokok.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat