Yayasan Akalbudi tak rugi beri dana RM10 juta kepada Armada Holdings – Datuk K

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melalui Yayasan Akalbudi membantu menyediakan dana pelaburan RM10 juta kepada syarikat Armada Holdings Sdn Bhd membida tender sebagai syarikat pembekal arang batu tanpa yayasan itu mengalami kerugian.

Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa, 64, atau lebih dikenali dengan nama Datuk K yang memberi keterangan di Mahkamah Tinggi hari ini, berkata dana itu dikembalikan semula kepada Yayasan Akalbudi berserta faedah yang sepatutnya iaitu sebanyak RM69,722.65.

Suami kepada penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin, yang juga saksi kelapan pembelaan ketika membacakan pernyataan saksinya, berkata secara tidak langsung yayasan yang diasaskan Ahmad Zahid tidak mengalami apa-apa kerugian, sebaliknya memperoleh keuntungan yang sama atau yang sepatutnya.

Ketika menjawab soalan peguam bela Hamidi Mohd Noh, Khalid berkata, Timbalan Perdana Menteri itu cukup pemurah dengan memberikan dana pelaburan berkenaan kerana Ketua Pegawai Eksekutif Armada Holdings, Datuk Wasi Khan@Wasiyu Zama Israr hanya meminta campur tangannya (Ahmad Zahid) untuk meminta Tenaga Nasional Berhad (TNB) supaya dapat mengurangkan jumlah modal berbayar daripada RM10 juta kepada RM5 juta.

“Tujuan asalnya bukan untuk meminta wang, tetapi Datuk Seri (Zahid) dengan rela hati tanpa diminta menyatakan mengapa tidak beliau sediakan dana pelaburan RM10 juta bagi membolehkan Wasi Khan menyertai perniagaan ini.

“Dalam pemahaman saya, dana RM10 juta diberikan Datuk Seri Zahid kepada Datuk Wasi Khan adalah masih berbentuk pelaburan tanpa apa-apa kerugian kepada pengeluaran wang itu walaupun ia tidak disebut oleh Ahmad Zahid ketika pertemuan di antara kami bertiga.

“Saya juga mengetahui Zahid adalah bekas pegawai bank dan tahu mengenai perkara ini. Jumlah itu semata-mata untuk membolehkan Armada Holdings layak membida tender sebagai syarikat pembekal arang batu kepada TNB yang dipercayai memberikan pulangan yang baik kepada syarikat sekiranya berjaya dan bukan untuk tujuan lain,” lapor BH.

Khalid berkata, Wasi Khan mengetahui beliau rapat dengan Zahid dan meminta bantuannya untuk menguruskan satu perjumpaan dengan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, yang kemudian diaturkannya dan diadakan di pejabat Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya.

Beliau yang mengenali Zahid selama 30 tahun, berkata Wasi Khan yang ketika itu Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Armada Holdings dan syarikat memerlukan modal berbayar RM10 juta untuk memenuhi syarat minima didaftarkan sebagai syarikat pembekal dan kontraktor TNB.

Khalid berkata, dalam pertemuan itu Wasi menyatakan hasrat untuk mengurangkan jumlah modal berbayar kepada RM5 juta, namun Zahid memaklumkan beliau tidak boleh berbuat demikian kerana ia di luar bidang kuasa dan menjadi kesalahan sekiranya campur tangan dalam urusan dan polisi yang ditetapkan oleh TNB.

Katanya, Zahid percaya beliau tidak akan membawa individu sembarangan untuk berjumpanya melainkan dia (Khalid) yakin dengan kebolehpercayaan individu itu.

“Untuk memastikan pelaburan daripada Zahid melalui Yayasan Akalbudi dipulangkan semula dengan selamat tanpa kerugian berserta faedah, atas dasar rasa tanggungjawab beliau memohon menjadi salah seorang penandatangan Armada Holdings.

“Inisiatif ini diusulkan sendiri kerana ingin memastikan hak Yayasan Akalbudi dan tujuan asal mengapa Zahid mengeluarkan wang daripada akaun simpanan tetap yayasan akan terjamin dan tidak mengalami kerugian.

“Tidak lama kemudian, saya dimaklumkan oleh Wasi Khan bahawa beliau menerima cek daripada Zahid bernilai RM10 juta. Bagaimanapun, beliau memberitahu cek itu daripada Yayasan Akalbudi dan beliau menubuhkan Armada Holdings Sdn Bhd dengan jumlah modal berbayar RM10 juta,” katanya.

Terdahulu, Khalid berkata seingatnya pada sekitar tahun 2015, Wasi Khan yang dianggapnya sebagai adik memaklumkan mengenai hasrat untuk menubuhkan syarikat pembekalan arang batu di Indonesia memerlukan modal berbayar RM10 juta.

Sementara itu, menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd Dusuki Mokhtar pada sesi soal balas, Khalid tidak bersetuju dengan cadangan bahawa dana itu adalah satu pinjaman.

Disoal Mohd Dusuki sama ada adakah tidak terlintas di fikiran beliau untuk bertanya atau menolak pelawaan pinjaman itu kerana ia jumlah yang besar, Khalid menjawab, ‘tidak’.

Disoal lanjut sama ada tidak terlintas bahawa dari mana Zahid mendapat dana berkenaan, saksi itu berkata, Zahid adalah seorang ahli korporat dan usahawan serta bekas ahli perbankan yang mempunyai sumber yang pelbagai.

Katanya, Zahid tidak melakukan penelitian wajar (due diligence) terhadap Armada Holdings kerana beliau (Khalid) selaku pemudahcara adalah juga penjamin kepada syarikat berkenaan.

Tegas saksi itu, Zahid tentu tidak akan memberikan dana berkenaan jika beliau bukan penjaminnya.

Sementara itu, Khalid berkata, beliau mengenali Ahmad Zahid sudah hampir 30 tahun sejak bertugas sebagai seorang pengurus bahagian pinjaman di bank Bumiputra yang kini dikenali sebagai Bank CIMB.

Beliau berkata, tempoh perkenalan itu membuatkan beliau rapat dengan Zahid dan mengenali sifat dan karakternya sebagai seorang yang pemurah, dermawan dan suka membantu apabila seseorang memerlukan bantuan.

Disebabkan itu, Khalid berkata, mereka pernah melakukan beberapa aktiviti sosial bersama seperti berkonvoi menaiki motosikal berkuasa tinggi dengan menjelajah ke beberapa negeri di dalam dan luar negara iaitu di Cape Town, Afrika Selatan kerana mempunyai minat sama dalam bidang permotoran.

Katanya, beliau bersama isteri juga pernah beberapa kali menunaikan ibadah umrah bersama AZahid dan isterinya.

Khalid memberikan keterangan bagi Zahid, 70, yang dibicarakan dengan 47 pertuduhan iaitu lapan tuduhan rasuah, 12 pecah amanah dan 27 pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

Bagi tuduhan pecah amanah, Presiden Umno itu didakwa antaranya sebagai ejen iaitu Pemegang Amanah Yayasan Akalbudi dan dalam kapasiti itu diamanahkan dengan wang RM10 juta, melakukan pecah amanah iaitu dengan curangnya memberi pinjaman kepada Armada Holdings.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung petang ini.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat