Jayakan 5 projek berimpak tinggi dan semarak syiar Islam tawaran PH jika kekal mentadbir Negeri Sembilan – Aminuddin

SEREMBAN – Sepanjang mentadbir Negeri Sembilan, Pakatan Harapan (PH) membuktikan kerajaan yang stabil mampu membawa kemajuan yang nyata.

Ketika meluncurkan manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, Pengerusi PH Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun memaklumkan, Negeri Sembilan berjaya mencatat rekod pelaburan tertinggi dalam sejarah negeri, mewujudkan ribuan peluang pekerjaan baharu, memperkukuh jaringan kebajikan rakyat, memperkasa institusi pendidikan, memperluas pembangunan infrastruktur dan mengekalkan kedudukan kewangan negeri yang kukuh.

“PH komited untuk meneruskan agenda pembangunan Negeri Sembilan yang stabil, progresif dan inklusif.

“Manifesto ini berpaksikan keperluan rakyat, pertumbuhan ekonomi yang mampan, peluang pekerjaan berkualiti, kebajikan yang menyeluruh dan pembangunan yang seimbang untuk seluruh lapisan masyarakat,” katanya.

Bukan cuma Menteri Besar Negeri Sembilan itu berkata, PH juga menyatakan komitmen untuk menyemarakkan syiar Islam sebagai agama Persekutuan, memperkukuh institusi Islam negeri, memperkasa pembangunan ummah dan mempertahan keharmonian masyarakat majmuk, kebebasan beragama dan perpaduan rakyat seperti yang dijamin Perlembagaan Persekutuan.

Justeru, PH menggariskan 10 komitmen utama menerusi manifesto bertema ‘Kekal Harapan’ bagi PRN Negeri Sembilan ke-16.

Jelas beliau, komitmen berkenaan meliputi Mengekalkan Kerajaan Stabil, Bersih dan Mesra Rakyat; Memperkasa Skim Sejahtera Rakyat (SSR), Ekonomi Berdaya Saing dan Mewujudkan 30,000 Peluang Pekerjaan Bergaji Tinggi; Pendidikan Berkualti Untuk Semua serta Membina 20,000 Rumah Mampu Milik dan Penyelesaian Isu Tanah.

Selain itu, Belia, Wanita dan Keluarga Diberi Keutamaan; Pembangunan Pelancongan dan Warisan Adat, Kemajuan Seimbang Bandar dan Luar Bandar serta Felda; Pertanian Moden dan Keterjaminan Makanan; Infrastruktur Strategik dan Perkhidmatan Kesihatan Berkualiti serta Perpaduan Agama, Keharmonian dan Kemajuan untuk Semua.

Manifesto PH turut menggariskan matlamat untuk menjayakan lima projek berimpak tinggi, iaitu Seremban Sentral dan kekerapan komuter Seremban–Kuala Lumpur (KL), hospital baharu di Bandar Enstek, Nilai; pelaburan antarabangsa baharu di Port Dickson, pembinaan Rumah Kedua di lot kediaman Felda dan merealisasikan Pintasan Senawang-Port Klang.

PH menyatakan manifesto berkenaan bukan sekadar menawarkan janji tetapi kesinambungan kepada dasar yang terbukti berjaya dilaksanakan dan hala tuju baharu membawa Negeri Sembilan menjadi sebuah negeri yang lebih maju, berdaya saing, mampan dan inklusif menjelang 2045.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat