Sentuhan TVET rentas sempadan, POLIMAS kongsi kepakaran 3D dan AI di Selatan Thailand

Oleh Zihan Zari

SATUN, THAILAND – Seramai 38 murid Sekolah Ban Hadsaiyaow menimba pengalaman berharga apabila berpeluang mempelajari asas reka bentuk tiga dimensi (3D) menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) antarabangsa kendalian Jabatan Kejuruteraan Awam (JKA) Politeknik Premier Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS).

Program bertemakan ‘Serumpun Tanpa Sempadan: Perkasa Ilmu, Maju Bangsaku’ telah berlangsung selama dua hari bermula 11 hingga 12 November lalu di Ban Hat Sai Yao (Kampung Pasir Panjang), Tanyong Po.

Menerusi bengkel SketchUp for Young Designers – Mini Workshop, seramai 21 pensyarah dan kakitangan POLIMAS turun padang membimbing murid serta guru sekolah berkenaan mengenai asas reka bentuk berbantukan komputer (CAD), pemodelan 3D menggunakan aplikasi SketchUp, serta pengenalan kepada teknologi kecerdasan buatan (AI).

Lebih bermakna, bengkel tersebut menjadi pengalaman sulung buat sebahagian besar murid berkenaan menggunakan komputer riba dan perisian reka bentuk susulan kekangan kemudahan teknologi di sekolah terbabit.

“Inisiatif yang turut dikenali sebagai CSR Satun 1.0 itu membuka ruang kepada warga POLIMAS mendekati komuniti Melayu Satun menerusi perkongsian ilmu dan aktiviti kemasyarakatan,” kata Pengarah Program, Ts. Dr. Ahmad Sid Hijaz Md. Saaid.

“Selain aspek akademik, kita turut menyantuni penduduk setempat dengan mengadakan gotong-royong bagi menceriakan persekitaran Masjid Ban Hat Sai Yao.

“Program pengimarahan masjid itu turut diserikan dengan demonstrasi seni khat, lakaran seni bina serta pengisian tazkirah Subuh bersama kariah setempat,”katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah (Sokongan Akademik) POLIMAS, Ts. Mohd. Khairolnizam Yunos berkata, perkongsian kepakaran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) itu menjadi pemangkin kepada jalinan kerjasama pendidikan rentas sempadan.

Menurut beliau, persamaan sejarah, bahasa dan budaya antara masyarakat Melayu Satun dengan penduduk di utara Semenanjung Malaysia menjadi jambatan utama dalam memperkukuh hubungan dua hala antara kedua-dua komuniti.

Pada masa sama, Pengetua Sekolah Ban Hadsaiyaow, Tuan Hasem Ahama turut menzahirkan penghargaan atas kesudian pasukan POLIMAS berkongsi kepakaran teknikal dan menyifatkan program tersebut sebagai suntikan semangat baharu kepada para pelajarnya.

Beliau berharap kerjasama strategik itu dapat diteruskan pada masa hadapan bagi membantu menambah baik kemudahan pembelajaran serta memperluas pendedahan teknologi digital kepada murid-murid di kawasan berkenaan. – SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat