GEORGETOWN,– Pergerakan Puteri UMNO Pulau Pinang hari ini mahu Malaysia supaya memainkan peranan lebih aktif dalam mendesak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) agar membuka laluan bantuan kemanusiaan ke Gaza yang kini terputus sepenuhnya sejak Mac lalu.
Naib Ketuanya, Puan Nourulisyraq Zafifah, dalam satu kenyataan, menyifatkan sekatan total yang dikenakan terhadap Gaza sebagai satu bentuk pelanggaran hak asasi manusia dan penggunaan kelaparan sebagai senjata perang, yang harus dikutuk oleh seluruh komuniti antarabangsa.
“Lebih 800 rakyat Palestin telah terbunuh hanya kerana cuba mendapatkan bantuan makanan, dan hari ini sahaja seramai 73 orang maut ketika beratur untuk bantuan di Gaza. Jumlah keseluruhan korban kini melebihi 60,000 orang, termasuk wanita dan kanak-kanak,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Utama Mohamad Hasan, untuk mengetuai tekanan diplomatik ke atas Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan membawa suara tegas Malaysia dalam sidang-sidang antarabangsa.
Puteri UMNO Pulau Pinang turut mencadangkan agar Malaysia menggerakkan inisiatif bersama negara-negara Islam dan ASEAN untuk mendesak penamatan sekatan serta pembukaan segera koridor kemanusiaan.
“Malaysia sebagai negara Islam yang dihormati wajar memimpin tekanan ini dengan suara yang jelas, tegas dan konsisten. Ini bukan sekadar isu Palestin, tetapi ujian terhadap nilai kemanusiaan sejagat,” katanya.
Dalam pada itu, orang ramai turut diseru untuk terus berdoa, menyumbang serta menyebarkan kesedaran sebagai tanda solidariti terhadap rakyat Gaza yang tertindas.



