Malaysia Perlu Komited Basmi Gejala Lumba Haram – PBM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kejadian kemalangan maut yang melibatkan pelumba-pelumba haram motorsikal atau “Mat Rempit” yang berlaku di Pulau Pinang baru-baru ini sewajarnya dijadikan pengajaran.

Ketua Pemuda Parti Bangsa Malaysia (PBM), Na’im Brundage mencadangkan agar program-program pemerkasaan belia dapat dipergiatkan bagi memastikan anak-anak muda tidak lagi terjebak dengan budaya negatif ini.

“Kerajaan diharap dapat menghidupkan semula program-program seperti Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), Rakan Muda dan juga mengadakan program-program baharu yang berupaya untuk menarik minat para remaja dan belia di negara ini untuk memupuk mereka supaya tidak terjebak aktiviti “Mat Rempit”.

“Kita juga menyarankan agar pertubuhan belia, parti-parti politik dan NGO-NGO dapat bekerjasama untuk mengadakan program atau aktiviti positif yang dapat menarik minat anak muda terutamanya dari golongan B40 yang menjadi kelompok majoriti yang terlibat dalam kancah lumba haram di Malaysia,” katanya melalui satu kenyataan media hari ini.

Menurutnya, kerosakan yang dibawa oleh budaya “Mat Rempit” bukanlah semata-mata melibatkan kesalahan jalan raya sahaja, tetapi turut memberi impak kepada gejala sosial lain seperti penyalahgunaan dadah, pergaulan bebas, perjudian dan juga jenayah keganasan.

Na’im berkata, kerajaan perlu menyediakan satu “blue print” bagi penghapusan budaya “Mat Rempit” ini mengikut keperluan setiap negeri-negeri di Malaysia.

“Ini adalah penting memandangkan faktor penyebab terjerumusnya anak muda ke dalam budaya ini adalah berbeza bagi setiap negeri dan kawasan. “Blue print” ini juga akan berupaya menjadi satu rujukan supaya kita dapat mengetahui sejauh mana kita telah berjaya untuk menyekat penularan budaya ini kepada generasi akan datang.

“Sejak dari era 1980an lagi, kewujudan golongan pelumba haram di jalan raya ini telah wujud dan pada ketika ini ia masih lagi diteruskan dengan penyertaan generasi muda di zaman ini,” katanya.

Jelasnya sehingga kini, tiada konsensus dalam mengkaji jumlah remaja yang terlibat dalam gejala ini.

Namun Na’im berkata, ketika ini terdapat ribuan remaja yang terlibat, sama ada sebagai pelumba, penyokong atau penonton aktiviti lumba haram yang berlaku hampir setiap malam minggu atau cuti umum di seluruh negara.

“Sungguhpun dengan sebegitu banyak operasi dan sekatan jalan raya yang dilakukan oleh pihak berkuasa, masalah “Mat Rempit” ini seolah-olah tiada penghujungnya dan akan terus menjadi titik hitam dalam pembangunan sosial di negara ini.

“Ini diburukkan lagi apabila budaya songsang ini dimuliakan oleh sesetengah pihak di dalam karya-karya seni, seperti filem, lagu dan drama yang seolah-olah mengangkat golongan “Mat Rempit” sebagai hero,” katanya.

Tambahnya lebih parah lagi apabila terdapat pemimpin politik yang mengangkat influencer mempromosikan budaya ini sebagai ikon permotoran, sedangkan apa yang dilakukan oleh golongan “Mat Rempit” adalah bertentangan dengan dunia sukan permotoran.

“Kita tidak boleh meletakkan usaha untuk membasmi budaya “Mat Rempit” ini hanya di bahu pihak berkuasa sahaja, kerana sekalipun undang-undang diperketatkan dan ratusan “Mat Rempit” ditahan, ia tetap tidak akan dapat dihapuskan kerana ia telah menjadi budaya yang amat sinonim dengan anak muda Malaysia, khususnya orang Melayu dari kalangan golongan B40.

“Sebagai sebuah parti yang amat dekat dengan akar umbi, Parti Bangsa Malaysia sedar bahawa terdapat pelbagai faktor mengapa budaya ini akan terus berkembang di Malaysia,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat