Sebab Bukan Hanya 23 Burger Laku Di DoplohTiga

- Advertisement -

Kuala Lumpur: BUKAN setakat 23 biji burger yang laku, malah jualannya senang-senang kutip RM8,000 sehari.

Hanya berniaga burger, kemudiannya menambah nasi lemak pada menu, tetapi juga menggunakan burger sebagai lauk sampingan.

Itu strategi pemasaran Restoran DoplohTiga, letaknya di tepi jalan masuk menuju ke Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur.

“Asalnya menu di restoran cuma burger, macam-macam burger ada, ayam dan daging, jualan memang memberangsangkan. Patti burger dihasilkan sendiri, begitu juga roti. Tetapi ramai bertanyakan nasi lemak, jadi kita hasilkan Nasi Lemak berlaukkan burger ayam dan daging,” kata pengasas dan pemilik DoplohTiga, Ahmad Zaidi Masri.

Setiap hari katanya, lebih 23 burger bertukar tangan dengan pelanggan. Begitu juga Nasi Lemak Ayam dan Daging, lebih 23 bungkus laris dijual.

“Ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negara ini, ramai yang mengeluh hilang punca pendapatan, kami begitu juga, walaupun ramai yang gemar burger, jualan merosot sehinggakan sukar untuk mendapatkan jualan cecah walaupun RM1,000 sekali pun.

“Tetapi, kami tidak mengalah dan berserah. Apa yang dibuat, inovasi dan adaptasi mengikut kesesuaian dan perintah sekatan yang dilaksanakan. Sebagai jurutera yang mendapat ilmu dari Jepun, saya gemarkan buat pembangunan dan penyelidikan, R&D.Paling saya suka, R&D bidang makanan termasuk burger,” tambah Ahmad Zaidi semasa ditemui Astro AWANI baru-baru ini.

Kata beliau, prinsip “Ikigai” asalnya dari Jepun digunapakai dalam ilmu perniagaan yang diusahakannya. Antara lain katanya, “Ikigai” menanamkan apa yang gemar dibuat, pandai hasilkan, apa kehendak dunia mahukan dan sesuatu perkara mendatangkan wang.

“Saya suka makan burger, saya pandai hasilkan burger selepas R&D dibuat. Saya juga tahu penduduk dunia tetap mahu makan dan minum untuk hidup dan peniagaan burger yang lain daripada yang lain semestinya mendatangkan wang. Prinsip ini saya amalkan. Kerana itu, walaupun peraturan dine-in tidak dibenarkan, paling tidak 23 biji burger akan laku di DoplohTiga,” ujar beliau.

Strategi pemasaran berdasarkan prinsip “Ikigai” ditambah baik dengan menguasai media sosial bagi memastikan restoran burger yang letaknya di kaki lima bangkit dan seterusnya kekal bertapak dalam industri penyediaan makanan dan minuman F& B di sebalik pelbagai sekatan akibat pandemik Covid-19 yang menipiskan poket usahawan serta peniaga.

Antara platform yang digunakan termasuk Instagram dan Google.

“Kedua-dua platform media sosial ini banyak membantu DoplohTiga mencipta jenama seterusnya viral, sehinggakan setiap hari ada sebabnya bukan hanya 23 biji burger laku di DoplohTiga. Malah, sejak menggunakan Google, restoran burger ini tersenarai antara yang paling banyak dicari peminat burger. Sudah tentu, ia memudahkan lebih ramai pelanggan tahu dan membeli burger yang dihasilkan,” kata beliau yang juga menyimpan hasrat menembusi pasaran burger halal di Fukuoka, Jepun dalam tempoh dua tahun lagi.

Keistimewaan DoplohTiga yang sudah enam tahun usianya, ialah penggunaan patti dihasilkan sendiri sama ada daging dan ayam. Bukan itu sahaja, kilang khas turut menghasilkan roti khusus untuk burger DoplohTiga.

Manakala sos yang dihasilkan juga eksklusif dan hanya ada di Doploh Tiga berdasarkan kepada R&D yang dijalankan, kata Ahmad Zaidi.

Bergerak ke hadapan, DoplohTiga bukan sahaja mahu membuka restoran burger dan melebarkan sayapnya di Jepun, tetapi mahu melatih sebanyak mana usahawan makanan berdasarkan kepada prinsip “Ikigai” yang diamalkannya.

Pada masa ini, selain di Titiwangsa, DoplohTiga mempunyai cawangan di Setiawan dan Melaka.

Kini DoplohTiga turut memiliki pengangkutan sendiri untuk memudahkan penghantaran kepada para pelanggan yang menjadi peminat burger serta nasi lemak.

Burger yang dijual di DoplohTiga adalah berharga antara RM12 hingga RM40.

– Astro Awani

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,540FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat