Catatan Nadir Al-Nuri: Adakah Saya Dengki Ebit Lew Masuk ke Gaza?

- Advertisement -

Umum mengetahui bahawa dalam puluhan LIVE yang saya dijemput berkongsi pasca perang, penonton mendesak bertanya tentang status EL dan timnya yang tidak mengambil tanggungjawab memaklumkan keadaan mereka sendiri.

Berpuluh kali saya terpaksa menjawab bahawa mereka belum masuk, hendak masuk ke Gaza susah dan akhirnya saya sebut ‘hanya wali saja yang dapat masuk ke Gaza’, dengan makna hebat betullah orang yang dapat masuk ke Gaza ketika ini, dan alhamdulillah, dengan takdir Allah setelah penantian panjang tim EL berjaya juga masuk ke Gaza.

Gurauan manja ini bukan lah untuk saya mengejek atau menyindir, jauh dari lubuk hati saya untuk berfikiran sedemikian, tetapi ianya diinterpretasi dengan tafsiran dengan nada yang berbeza dan dipotong dari video panjang. Ia seolah kita berkata kepada rakan, kau memang power gila kalau dapat angkat batu gedabak ini dan hadir dalam bentuk gurauan, bukan mengejek. Apapun saya ingin mengambil kesempatan ini untuk meminta maaf kepada semua yang terasa.

Sesiapa yang mengikuti paparan facebook saya pasti pernah melihat posting berkaitan saya menanti ketibaan tim EL kedalam Gaza. Apabila saya mendengar berita daripada Kementerian Luar di Gaza memaklumkan yang tim EL telah sampai ke sempadan Rafah di Mesir, lantas saya bergegas ke sempadan untuk menyambutnya bersama anak saya Naeem.

Jam ketika itu menunjukkan pukul 11 malam dan kami baru selesai seharian berprogram tetapi digagahkan juga untuk bangun dengan penuh keterujaan manyambut kedatangan orang Malaysia ke negeri ini setelah dua tahun tidak melihat wajah dari negara sendiri dengan harapan dapat berkhidmat, membantu memudahkan urusan atau sekurangnya beramah mesra untuk mengubati kerinduan berjumpa orang Melayu.

Kami sampai dan mendapati wakil Kementerian Luar yang memang bertugas di dewan VIP telah pun berada di sana, selainnya dewan kosong kerana sudah lewat malam. Tak lama selepas itu dua orang wakil Persatuan Bulan Sabit Merah pula sampai. Kami berlima duduk bersama dan wakil Kementerian Luar seronok bercerita pengalamannya ke Malaysia dan bagaimana layanan sangat baik diberikan kepadanya oleh orang kita (walaupun dalam tempoh dua minggu di Malaysia dia tak dapat menyesuaikan diri dengan makanan pedas kita!)

Jam 2 pagi kami dimaklumkan rombongan sudah melepasi sempadan Rafah sebelah Mesir dan akan masuk ke Gaza. Perasaan ketika itu seronok bukan kepalang. Saya ditolak wakil Kementerian Luar berada di barisan hadapan menyambut rombongan dan apabila turun dari bas, sebahagian tim bersalam sedangkan separuh lagi termasuk EL berjalan jauh daripada saya. Tidak ada sepatah kata pun dituturkan oleh seluruh tim kepada saya melainkan ‘bodyguard’nya yang terus menegur dan membisik ke telinga saya, awak orang Malaysia kan, jangan buat LIVE ya, kita dah ada Astro di sini.

Pelik dan terkejut, ketika itu saya menyedari kehadiran saya tidak disenangi. Saya berjalan di belakang rombongan, cuba menjauhkan diri tetapi apabila EL diminta duduk di kerusi VIP, wakil Kementerian Luar memanggil saya dan meminta saya duduk di sebelahnya. Saya menolak kerana tidak mahu menimbulkan suasana tidak selesa tetapi setelah dipaksa, saya akur.

EL yang duduk di sebelah langsung tak menegur, tak menghulurkan tangan untuk bersalam dan barangkali kerana kepenatan tergesa-gesa untuk bangun semula. Mereka bangun untuk solat dan saya memerhatikan dari jauh, cuba memahami apa yang sedang berlaku. Beberapa keping gambar diambil untuk memaklumkan kepada pihak berwajib bahawa mereka telah selamat sampai, tiba-tiba ‘bodyguard’ yang sama datang lagi.

“Encik tolong padam semua gambar dan video yang diambil tadi,” beliau mengarahkan. Ketika itu saya agak terkilan dengan kata-kata tersebut. Saya tidak minta dihormati, saya tidak minta dipuji, cita-cita saya hanyalah untuk membantu dah berkhidmat sedaya mungkin menjayakan misi Tim EL atau paling kurang dapat bersalam dengan beliau! Tetapi saya di tegur dengan agak keras oleh wakil Tim EL sehinggalah saya melenting lalu beliau meminta maaf dan menyebutkan hanya menurut arahan sahaja.

Selepas itu, saya berundur dan hanya melihat dari jauh. Wakil Menteri Luar datang berjumpa dan berkata, maaflah, saya pun tak tahu sampai begitu sekali ada perselisihan di antara kalian. Saya menjawab kepadanya, tak ada perselisihan pun tapi mungkin ada tujuan peribadi mereka berbuat begitu. Setelah mereka selamat menaiki kenderaan ke tempat penginapan, saya kembali ke rumah.

Saya tidak menyangka bahawa dengan sepatah ayat yang disalah tafsir sebagaimana disebutkan PA EL saya langsung tak diberi peluang untuk bercakap dengan tim dan EL dan yang disebutkan kepada saya oleh seluruh tim hanya dua ayat sahaja, jangan buat LIVE dan delete semua gambar.

Berbohonglah saya jika tidak mengaku terasa dengan persoalan adakah ini didikan ustaz sama yang ajar kita mengikut sunnah, saling memaafkan, Allah sayang? Adakah di belakang kamera sikap kita berbeza dengan lemah-lembut yang dilihat orang ramai?

Saya masih belum dapat menjawab persoalan ini, atau barangkali ayat yang disalah-tafsirkan langsung tidak boleh dimaafkan sehingga saya terlalu jijik untuk dipandang. Kalau ya pun saya terlalu hina anggaplah saya seperti madhu’u yang selalu kalian santuni di lorong gelap KL atau adik-adik motor dan nasihatkanlah saya!

Semenjak peristiwa itu saya langsung tak mengambil tahu perkembangan mereka walaupun dijemput Kementerian Luar meraikan kehadiran mereka apabila mereka diberikan sijil Duta Muhibbah.

Saya malas mengambil tahu apa keperluan dibuka ‘rumah anak yatim’ sedangkan faktanya di seluruh Gaza ada 20,000 anak yatim tetapi hanya ada satu rumah anak yatim di sini, Ma’ahad Al-Amal yang menempatkan hanya 120 anak yatim kerana budaya di sini yang tidak membenarkan anak-anak yatim tinggal di rumah anak yatim malah dijaga oleh keluarga kembangan.

Saya juga hanya menenangkan pasukan yang mengurus mereka dari Persatuan Bulan Sabit yang mengadu tim susah diurus dan meminta dilaksanakan projek yang tidak logik dalam masa yang singkat. Betul seperti apa yang disebutkan, mungkin Malaysia tahu tentang kehadiran mereka di Gaza tetapi untuk bumi Palestin, kehadiran 3 hari pastinya sukar untuk meninggalkan kesan.

Satu saja berita aktiviti yang dijalankan mereka yang saya jumpa dikongsikan di akhbar tempatan (atau lebih tepat grup telegram tempatan) dengan janji sumbangan 250 ribu dollar untuk membangunkan muzium perjuangan Palestin di Gaza, suatu projek yang saya ‘SALUTE’ dan pastinya menunggu pelaksanaan oleh rakyat di sini.

FITNAH 2. WAJIBKAH BANTUAN MELALUI SAYA?

Sememangnya sejak 2013 tidak ada satu NGO Malaysia pun yang masuk melainkan saya berjumpa dan beramah mesra dengan mereka sama ada kepimpinan Yayasan Amal, MyCare, MAPIM, Viva Palestin, Global Peace Mission, Muslim Care atau mana-mana NGO pun.

Tiada yang saya minta disampaikan bantuan melalui saya, tidak ada yang diminta datang ‘mencemar duli’ malah saya yang akan ke tempat penginapan mereka dan beramah mesra kerana seronok dapat berjumpa.

Kenapa saya nak mengharapkan sumbangan melalui pihak saya sedangkan tim saya sendiri sudah tidak menang tangan pun menguruskan bantuan sekitar RM15 juta untuk peringkat pertama pasca-perang yang diamanahkan kepada kami untuk Palestin? Dan untuk makluman kalian, untuk bantuan am kami hanya menggunakan kurang 10% sumbangan untuk pengurusan tetapi untuk bantuan kecemasan termasuk RM15 juta yang awal ini, kami mengambil 0% untuk pengurusan dan hanya meminta penyumbang menanggung kos transaksi wang ke sini!

Jujur saya katakan, saya mengharapkan yang terbaik dapat dilakukan untuk tim EL dengan saya bersedia berkorban masa dan tenaga untuk membantu dan sama-sama berkhidmat, tetapi ianya tidak seperti dijangkakan perkara kecil yang disalah ertikan telah mematahkan niat baik ini.

KESAN BESAR TIM EL KEPADA PIHAK LAIN

Dalam tempoh sekitar 8 tahun selepas pertukaran kuasa di Mesir, NGO hanya dapat masuk ke Gaza melalui Rafah dengan melalui NGO antarabangsa Miles of Smiles, dengan jumlah maksimum mungkin 200-300 orang sahaja dapat masuk setahun.

Kaedah ini telah di amalkan oleh semua NGOs yang telah berjaya beberapa kali keluar dan masuk ke Gaza.

Kenapa kaedah tim EL memberi kesan besar kepada NGO lain? Kerana kalau sebelum ini banyak NGOs boleh masuk melalui cara lama bersama Miles of Smiles, kini mereka terpaksa menggunakan cara baru dengan membayar kepada syarikat harga yang tinggi.

Ini kerana hasil desakan dan kesungguhan pihak kerajaan membuat kerjasama Malaysia-Mesir hanya untuk melepaskan misi tim EL berjaya masuk ke Gaza tidak kira berapa pun kos yang perlu di bayar tanpa menghiraukan kesan besar selepas itu. Hasil desakan tersebut mereka berjaya masuk dengan syarat penggunaan khidmat syarikat Hala untuk masuk.

Syarikat Hala bukan rahsia untuk penduduk Gaza. Khidmat tersebut boleh digunakan oleh sesiapa sahaja yang mampu membayar kosnya, iaitu $1200/orang untuk orang tempatan bagi perjalanan masuk dan keluar ke Gaza dan dengan bayaran tersebut akan mendapat layanan istimewa tanpa perlu berhenti di banyak checkpoint dan berhenti di ‘bottle neck’ merentas Terusan Suez yang biasanya mengambil masa 2,3 hari untuk dilalui.

Untuk orang luar pastinya bayaran yang dikenakan lebih mahal, lebih-lebih lagi kalau hendak diberi layanan VVIP dengan iringan kenderaan berperisai dan sebagainya. Duit sendiri atau duit orang ramai, saya menyeru supaya pada masa hadapan perbaikilah apa kelemahan atau kekurangan, pimpinlah perjuangan kemanusiaan dengan pihak berkaitan, sama-sama berpegang untuk membantu bukan dengan cara membuat kerja tanpa menoleh kiri kanan dan tidak menghiraukan kesan buruk yang terpaksa ditanggung badan-badan lain yang telah memulakan dan meneruskan perjuangan nafas panjang.

Kepada rakan-rakan NGO, pusat-pusat zakat, institusi bantuan dan pihak lain yang pernah melalui pengalaman sama di Kelantan, Kedah, Sabah dan tempat lain, barulah saya mengerti apa yang kalian semua rasai khususnya yang terpaksa mengadu di forum tertutup kerana malas melayan ‘backlash’ pembaca kerana kaedah redah dan dakwah yang tidak teratur dan tidak mengendahkan nasihat atau teguran pihak lain. Kepada kalian, teruskan sahaja perjuangan dan kerja kalian selagi mana kalian berada di landasan yang betul. Jangan lupa bahawa hero yang sebenar ialah marhaen yang kita bantu dan upayakan kerana mereka yang selama ini berkorban dan bersabar dengan ujian.

*Tulisan ini dipetik dari telegram Nadir al-Nuri @https://t.me/nadiralnuri

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat