Mungkin ada rakyat Malaysia pegang jawatan tinggi dalam sindiket ‘job scam’ di Myanmar-Thailand – Menteri Luar

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kementerian Luar tidak menolak kemungkinan ada dikalangan rakyat Malaysia yang ‘ditahan’ sindiket penipuan pekerjaan atau ‘job scam’ di luar negara seperti Myanmar dan Thailand memegang jawatan tinggi dalam sindiket terbabit.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata disebabkan memegang jawatan seperti pengurus dalam sindiket, ada antara mereka tidak berhasrat untuk pulang ke tanah air.

“Ingin saya terangkan bahawa terdapat kemungkinan di mana ada di kalangan mereka yang tidak berhasrat untuk pulang ke Malaysia kerana mereka telah memegang jawatan tinggi dalam sindiket penipuan seperti pengurus.

“Turut ada kemungkinan di mana individu yang dilaporkan hilang oleh waris sebelum ini telah pulang ke Malaysia tanpa memaklumkan kepada pihak Kementerian atau PDRM,” katanya melalui jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen.

Beliau berkata demikian menjawab soalan lisan Oscar Ling Chai Yew (PH-Sibu) mengenai jumlah rakyat Malaysia terperangkap di Myanmar dan Thailand akibat sindiket penipuan pekerjaan, termasuk statistik mengikut negeri dan sama ada kerajaan akan mengeluarkan amaran pelancongan rasmi ke negara terbabit.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata setakat 21 Januari lalu, kerajaan menyelamatkan dan menghantar pulang 114 orang rakyat Malaysia yang terbabit dengan sindiket ‘job scam’ dari Myanmar dan 157 orang rakyat Malaysia dari Thailand.

Beliau berkata, kerajaan melalui Perwakilan Diplomatik Malaysia di Myanmar dan Thailand sedang mengesan keberadaan 140 rakyat Malaysia di Myanmar and 14 lagi di Thailand dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan secara proaktif.

“Untuk makluman, rakyat Malaysia dari negeri Johor mencatatkan jumlah paling ramai terbabit isu ‘job scam’ apabila mewakili 19 peratus, diikuti Selangor (13 peratus), Sarawak (12 peratus), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (12 peratus), Perak (11 peratus), Pulau Pinang (sembilan peratus), Sabah (enam peratus), Negeri Sembilan (lima peratus), Kedah dan Pahang masing-masing tiga peratus, Melaka (dua peratus), Kelantan dan Terengganu masing-masing satu peratus dan Perlis 0.2 peratus,” katanya.

Tambah beliau kebanyakan sindiket penipuan beroperasi di kawasan utara Myanmar yang bersempadan Thailand dan Republik Rakyat China, yang mana kawasan ini tidak dikawal kerajaan Myanmar, sebaliknya dikuasai kumpulan etnik bersenjata yang berlainan.

Sementara Thailand pula, katanya hanya negara transit bagi sindiket ini bertujuan membawa masuk warga asing ke Myanmar untuk bekerja.

“Dalam hal ini, Kerajaan Malaysia melalui Kedutaan Besar Malaysia di Yangon, Myanmar dan Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok, Thailand sentiasa berhubung dan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan berkaitan bagi membantu menyelamatkan dan memudah cara penghantaran pulang mangsa warga Malaysia ke tanah air.

“Kementerian Luar sentiasa bekerjasama erat dengan kementerian dan agensi lain seperti PDRM dalam menangani isu ‘job scam’ ini, di mana masih terdapat rakyat Malaysia yang tertipu atau sanggup melibatkan diri secara sukarela demi gaji lumayan ditawarkan kepada mereka,” katanya.

Mengenai amaran pelancongan rasmi, Mohamad berkata Malaysia tidak mengeluarkannya memandangkan kempen kesedaran masih dilaksanakan secara aktif di kalangan masyarakat Malaysia.

“Kerajaan Malaysia sebaliknya akan mengambil pendekatan untuk membincangkan isu ini melalui semua platform sedia ada termasuk memanfaatkan Kepengerusian ASEAN-Malaysia sepanjang 2025 untuk mencari jalan penyelesaian sewajarnya.

“Bagi menunjukkan komitmen ASEAN dalam menangani isu sindiket penipuan tawaran pekerjaan ini di peringkat ASEAN, isu pemerdagangan orang dan penipuan dalam talian dibincangkan semasa Mesyuarat Pemukiman Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN yang berlangsung pada 18 hingga 19 Januari lalu di Langkawi,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat