WASHINGTON – Majlis angkat sumpah Presiden Amerika Syarikat ke 47, Donald Trump hanya diwakili oleh para duta bukan pemimpin utama mana-mana negara.
Perkara tersebut dimaklumkan oleh Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz bagi menjawab tohmahan beberapa pihak tentang ketidakhadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke upcara tersebut.
Mohamed Nazri berkata, Rumah Putih hanya menjemput pemimpin China ke majlis itu dan negara tersebut menghantar naib presidennya.
Jemputan untuk menghadiri majlis angkat sumpah tersebut disampaikan oleh kerajaan Amerika Syarikat kepada semua kedutaan baru-baru ini.
“Seperti pada masa lalu, Ketua Perwakilan yang diiktiraf ke Amerika Syarikat, bersama pasangan mereka, akan mewakili ketua negara masing-masing dan kerajaan mereka. Jemputan ini tidak boleh dipindah milik,” kata jemputan tersebut.
Trump mengangkat sumpah untuk penggal kedua sebagai Presiden pada Isnin, menandakan perubahan besar dalam pentadbiran Amerika Syarikat (AS) yang dijangka memberi kesan mendalam kepada masyarakat Amerika dan dunia.
Dalam ucapan sulungnya, Trump berikrar untuk “meletakkan Amerika di tempat pertama” semasa menandakan babak baharu untuk negara itu
Selepas majlis pelantikan, Trump meninggalkan Capitol dan menuju ke Arena Capital One yang berdekatan, di mana beliau menyampaikan ucapan kepada penyokongnya dalam satu perhimpunan yang turut menampilkan perarakan presiden.