Oleh Zihan Zari
PUNCAK ALAM – Orang ramai diminta berhati-hati mengenai aktiviti penipuan atau ‘scam’ yang sedang berleluasa melibatkan pembelian (barang kebersihan diri, makan berbayar untuk prospek (banduan), dan pakej perayaan di bawah jagaan Pusat Koreksional Puncak Alam, Jabatan Penjara Malaysia.
Pusat Koreksional Puncak Alam dalam kenyataannya memaklumkan penipuan ini dilakukan melalui pelbagai medium seperti panggilan telefon, pesanan teks emel atau aplikasi WhatsApp.
Menurutnya, modus operandi penipuan oleh individu yang tidak bertanggungjawab akan menghubungi mangsa (waris prospek) dengan mendakwa sebagai pegawai dan anggota yang bertugas di Pusat Koreksional Puncak Alam.
Selain itu, mereka akan meminta bayaran untuk pembelian keperluan prospek melalui platform yang tidak disahkan seperti e-wallet, pemindahan bank atau aplikasi lain.
Menurutnya lagi, mereka juga mungkin cuba mendapatkan maklumat peribadi atau kewangan mangsa untuk tujuan yang tidak sah.
“Pihak institusi ini menegaskan TIDAK AKAN PERNAH meminta sebarang bayaran melalui aplikasi WhatsApp, media sosial atau platform lain selain melalui ebelanja.com.my.
“Sebarang permintaan bayaran atau maklumat peribadi yang mendakwa datang daripada pihak kami adalah TIDAK SAH dan merupakan aktiviti penipuan,”katanya dalam kenyataan pada Ahad.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang pembayaran tanpa mengesahkan terlebih dahulu dengan pihak kami melalui saluran rasmi.
“Sekiranya orang ramai menerima sebarang panggilan, pesanan atau mesej yang mencurigakan, sila jangan memberi sebarang maklumat peribadi atau melakukan transaksi bayaran, ”katanya lagi.
“Segera membuat laporan insiden tersebut kepada pihak berkuasa atau menghubungi kami di talian rasmi 03-3392 3829/03-3392 3825 atau e-mel [email protected]
“Kerjasama dan kewaspadaan orang ramai amat kami hargai dalam membanteras aktiviti penipuan ini, ”kata kenyataan itu lagi. – SUARA.TV