Kerang di Pantai Sura ada risiko pencemaran bakteria – Pengarah Perikanan Terengganu

- Advertisement -

Oleh Zihan Zari

DUNGUN – Jabatan Perikanan Negeri Terengganu menasihatkan orang ramai untuk memastikan kerang yang dikutip di Pantai Sura perlu dimasak sepenuhnya sebelum dimakan bagi mengurangkan risiko pencemaran bakteria.

Pengarahnya, Ruzaidi Mamat berkata pengambilan kerang mentah harus dielakkan, terutama bagi individu dengan sistem imun yang lemah.

Beliau berkata, orang ramai disarankan sentiasa mempraktikkan langkah-langkah kebersihan semasa memproses makanan laut bagi memastikan keselamatan makanan terjamin.

Menurutnya, langkah berjaga-jaga ini adalah penting untuk memastikan keselamatan makanan terjamin dan melindungi kesihatan pengguna.

“Fenomena kerang dihanyutkan ke pantai akibat ombak kuat telah berulang pada tahun ini , dan sampel air serta kerang diambil pada 15 Januari lalu untuk memastikan keselamatan pengguna.

“Keputusan terkini hasil analisis sampel kerang berkaitan Pesta Kutip Kerang di Pantai Sura, menunjukkan tiada kehadiran plankton yang menghasilkan biotoksin dikesan dalam sampel air.

“Bacaan kelima-lima sampel telah menunjukkan bacaan Total coliform 6,380 – 7,380 MPN/ 100g dan bacaan Escherichia coli antara 300 – 680 MPN/100g serta tiada Salmonella spp. dikesan dalam ke lima-lima sampel, ”katanya dalam kenyataan pada Ahad.

“Selain itu, dua daripada lima sample dikesan terdapat Vibrio parahaemolyticus serta tiada Vibrio cholerae dan V.vulnificus dikesan dalam ke lima-lima sampel.

“Kesimpulannya keputusan analisis kerang hanyut ke daratan 2014, 2016, 2019, 2021 dan terkini, analisis makmal menunjukkan tahap bakteria Fecal coliform dan Escherichia coli (E. coli) dalam sampel kerang melebihi piawaian yang ditetapkan iaitu Fecal coliform: melebihi 300 MPN/100g dan E. coli: melebihi 230 MPN/100g

Kerang dalam kategori ini diklasifikasikan sebagai Kelas B dan C di bawah piawaian National Shellfish Sanitation Program (NSSP), yang memerlukan pemasakan sempurna sebelum dimakan,”katanya lagi.

“Kehadiran bakteria Vibrio parahaemolyticus, yang bersifat meluas (ubiquitous) dalam persekitaran air laut, turut dikesan dalam sampel terdahulu.

“Fenomena kerang dihanyutkan ke pantai akibat ombak kuat ini pernah dilaporkan beberapa kali sebelum ini,”jelasnya.

“Jabatan akan terus menjalankan pemantauan berkala terhadap keselamatan makanan laut dan menyediakan maklumat terkini kepada orang ramai, ”jelasnya lagi.

Media melaporkan Pantai Sura di sini dikunjungi ratusan penduduk seluruh daerah ini dan kawasan sekitar untuk mengutip ribuan kerang yang terdampar baru-baru ini. – SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat