Imigresen Tahan Warga Iran Disyaki Dalang Sindiket Palsukan Dokumen, Pasport Antarabangsa

- Advertisement -

PUTRAJAYA – Seorang lelaki Iran dipercayai dalang sindiket pemalsuan dokumen dan pasport antarabangsa ditahan dalam Operasi Khas di sebuah premis perniagaan di Jalan Tuanku Abdul Rahman dekat sini Rabu lalu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, suspek berusia 58 tahun yang dipercayai dalang utama sindiket ini tinggal di Malaysia lebih 30 tahun dengan menggunakan Pas Lawatan Sosial (suami kepada warganegara).

Menurut beliau, semasa serbuan lelaki itu menyerahkan dokumen yang dipalsukan kepada pelanggan di luar sebuah pasar raya yang terletak di Jalan Tuanku Abdul Rahman Kuala Lumpur.

“Siasatan lanjut membawa kepada serbuan di sebuah premis kediaman pangsapuri yang terletak di Bandar Baru Ampang yang dijadikan tempat menyimpan dan memalsukan dokumen dengan penemuan pelbagai bahan bukti.

“Antara yang dirampas lapan pasport antarabangsa pelbagai negara, 29 keping pelekat Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang belum dicetak dan dipercayai palsu, cop keluar Jabatan Imigresen Malaysia dipercayai palsu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pelbagai jenis cop, satu unit laptop dan satu unit mesin pencetak turut dirampas, selain 24 keping Lesen Memandu Antarabangsa dan wang tunai bernilai RM4,000.

Khairul Dzaimee berkata, modus operandi sindiket adalah dengan mensasarkan pelanggan warga asing khususnya warga Iran yang ingin mendapatkan pas dan dokumen untuk tinggal di negara ini.

Katanya, bayaran bagi setiap pas RM300 hingga RM500 sekeping dengan dibuat melalui dalam talian ke akaun bank pihak ketiga yang bersubahat dengan dalang ini.

“Sindiket ini dipercayai beroperasi hampir dua tahun dan berselindung di sebalik perniagaan menjual kain cadar tilam berdasarkan iklan yang diletakkan di hadapan premis yang diserbu.

“Ini kes pertama melibatkan warga Iran sebagai dalang utama sindiket pemalsuan dokumen. Suspek ditahan dan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pasport 1966,” katanya. – Utusan

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat