KUALA LUMPUR – Jemaah Menteri bersetuju secara prinsip menerima tawaran syarikat Ocean Infinity untuk meneruskan semula operasi pencarian dasar laut bagi mengesan pesawat MH370 yang hilang 10 tahun lepas.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke, berkata keputusan itu dipersetujui dalam mesyuarat Kabinet pada 13 Disember lalu.
Katanya, persetujuan itu berdasarkan prinsip ‘no find, no fee’ dengan pencarian dianggarkan di lokasi baharu seluas 15,000 kilometer persegi di Selatan Lautan Hindi.
“Mengikut prinsip ‘no find, no fee’, Kerajaan Malaysia tidak perlu mengeluarkan sebarang bayaran kepada syarikat ini sekiranya tiada sebarang bangkai pesawat ditemui.
“Lokasi kawasan pencarian baharu yang dicadangkan oleh Ocean Infinity adalah berasaskan kepada maklumat serta analisis data terkini yang dibuat oleh pakar dan penyelidik,” katanya pada sidang media di Putrajaya pada Jumaat.
Menteri Pengangkutan itu yang menyampaikan sidang media pasca Kabinet memberitahu, kawasan baharu pencarian dicadangkan Ocean Infinity berdasarkan maklumat terkini dan data analisis dibuat pakar serta penyelidik.
“Kementerian Pengangkutan sedang berunding berkait terma dan syarat perjanjian dengan Ocean Infinity,” katanya.
Ujar beliau, keputusan itu membuktikan komitmen kerajaan untuk meneruskan operasi pencarian bagi memberi jawapan kepada waris kru dan penumpang MH370.
Kehilangan MH370 kekal menjadi misteri terbesar dalam penerbangan. Pesawat membawa 239 anak kapal dan penumpang itu hilang pada 8 Mac 2014 ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing.
Mei lalu,Anthony dilaporkan berkata, misi pencarian baharu Ocean Infinity akan mengambil masa tiga bulan.