Pemegang saham MAHB dinasihat terima pengambilalihan walaupun RM11 sesaham ‘tidak wajar tapi munasbah’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Pemegang saham Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dinasihatkan untuk menerima tawaran pengambilalihan daripada konsortium yang diketuai oleh Khazanah Nasional Bhd.

Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB) selaku penasihat bebas menyatakan, bahawa tawaran RM11 sesaham adalah ‘tidak wajar tetapi munasabah’.

Dalam pekeliling nasihat bebas yang dikeluarkan di Bursa Malaysia hari ini, HLIB berkata tawaran itu munasabah memandangkan harga tawaran tersebut mewakili premium antara 60 sen (5.77 peratus) hingga RM3.0161 (37.78 peratus) berbanding harga pasaran terakhir pada 14 Mei, dan harga purata berwajaran volum (VWAMP) lima hari, satu bulan, tiga bulan, enam bulan dan satu tahun sehingga tarikh tersebut.

Harga tersebut juga merupakan premium antara 72 sen (3.97 peratus) hingga RM1.7319 (18.69 peratus) berbanding harga pasaran terakhir pada 14 November, dan VWAMP lima hari, satu bulan, tiga bulan, enam bulan dan satu tahun sehingga tarikh tersebut.

Harga ini juga mewakili premium antara 38 sen (3.57 peratus) hingga RM0.3813 (3.59 peratus) berbanding harga pasaran terakhir pada 13 Disember, dan VWAMP lima hari sehingga tarikh tersebut.

Walau bagaimanapun, firma itu berkata harga tawaran adalah lebih rendah dan mewakili diskaun RM1.61 dan RM2.71 atau 12.77 peratus hingga 19.77 peratus berbanding anggaran nilai sesaham antara RM12.61 dan RM13.71 yang diperoleh menggunakan metodologi penilaian jumlah bahagian.

Menurut HLIB, MAHB tidak menerima sebarang tawaran bersaing atau alternatif untuk sekuriti atau perniagaan, aset dan liabilitinya setakat 13 Disember. Oleh itu, ini memberi peluang kepada pemegang saham untuk merealisasikan pelaburan mereka pada RM11, lapor BH pada Jumaat.

Konsorsitum ini diketuai oleh anak syarikat Khazanah, UEM Group Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), dan termasuk anak syarikat milik penuh Abu Dhabi Investment Authority dan dana yang diuruskan oleh Global Infrastructure Partners.

Setakat 13 Disember, HLIB berkata konsortium dan syarikat induknya secara agregat memiliki 41.22 peratus daripada modal saham terbitan MAHB.

Dengan tahap kawalan semasa, mereka tidak dapat meluluskan sebarang resolusi biasa atau resolusi khas pada mesyuarat agung pemegang saham kerana resolusi ini memerlukan kelulusan daripada lebih 50 peratus atau sekurang-kurangnya 75 peratus masing-masing daripada jumlah undi yang dibuang.

Walau bagaimanapun, konsortium dan syarikat induknya boleh mengundi menentang resolusi khas dengan pegangan saham semasa mereka.

“Mereka mungkin mempunyai pengaruh yang ketara terhadap keputusan resolusi ini dengan pegangan saham semasa mereka.

“Sekiranya tawaran itu tidak berjaya, mereka tidak akan mempunyai sebarang hubungan berkenaan MAHB dan tidak akan mempunyai sebarang obligasi antara satu sama lain (selain daripada mengekalkan kerahsiaan mengenai perkara yang dibincangkan dan maklumat yang ditukar, dan perkongsian kos transaksi).

“Dalam hal ini, mereka akan bebas untuk meneruskan mandat atau objektif pelaburan masing-masing untuk mengurus dan memantau pegangan saham masing-masing dalam MAHB,” tambahnya.

HLIB juga berkata konsortium tidak berhasrat untuk mengekalkan status penyenaraian MAHB di Pasaran Utama Bursa Malaysia.

Harga saham MAHB kekal tidak berubah pada RM10.64 pada tengah hari dengan permodalan pasaran RM17.8 bilion.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat