KUCHING – Datuk Fazzrudin Abdul Rahman menawarkan diri untuk terus berkhidmat kepada penduduk Tupong bagi penggal ketiga selepas Gabungan Parti Sarawak (GPS) sekali lagi memilih beliau sebagai calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.
Dalam hantaran di Facebook hari ini, Fazzrudin menzahirkan rasa syukur atas pencalonan semula beliau bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tupong, yang terletak dalam kawasan Parlimen Petra Jaya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak yang juga Pengerusi GPS, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, atas kepercayaan untuk kembali mewakili gabungan itu di Tupong.
Penglibatan Fazzrudin dalam khidmat masyarakat di Petra Jaya bermula sebelum beliau dipilih sebagai wakil rakyat. Ketika berkhidmat sebagai Setiausaha Politik kepada Ahli Parlimen Petra Jaya, Datuk Seri Fadillah Yusof, yang ketika itu Menteri Kerja Raya, beliau kerap bertemu penduduk di kawasan berkenaan, termasuk di Tupong.
Pada PRN 2016, Ketua Menteri Sarawak ketika itu, Allahyarham Tan Sri Adenan Satem, memperkenalkan Fazzrudin sebagai calon Barisan Nasional bagi menggantikan penyandang Tupong, Datuk Daud Abdul Rahman. Fazzrudin memenangi kerusi itu selepas menewaskan calon PKR, Nurhanim Hanna Mokhsen, dengan majoriti 8,055 undi.
Lima tahun kemudian, beliau mempertahankan Tupong atas tiket GPS dengan majoriti lebih besar, iaitu 11,209 undi. Fazzrudin memperoleh 12,544 undi berbanding 1,335 undi yang diraih pencabar terdekatnya, Ahmad Nazib Johari daripada PKR.
Fazzrudin juga mengetuai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Tupong dan pernah dilantik semula sebagai Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak.
Beliau antara 82 calon yang diumumkan GPS hari ini menjelang penamaan calon pada 28 November. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 8 Disember sebagai hari pengundian awal dan 12 Disember sebagai hari pengundian.- SuaraTV



