Pendidikan Masyarakat Orang Asli Sentiasa Dibela Kerajaan – PM

- Advertisement -

CYBERJAYA – Pembelaan terhadap masyarakat Orang Asli di seluruh negara sentiasa diambil berat Kerajaan termasuk dalam bidang pendidikan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut Perdana Menteri, antara inisiatif yang dilaksanakan untuk kemajuan pendidikan masyarakat Orang Asli ialah Program Laluan Khas Kemasukan Pelajar Orang Asli ke Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang bakal dilaksanakan tahun depan.

“Ruang dan peluang sebegini dapat membuka peluang lebih cerah kepada anak Orang Asli untuk melanjutkan pelajaran, dan kita yakin dapat menyaksikan lebih ramai anak Orang Asli berjaya sebagai profesional daripada UPNM.

“Atas paksi falsafah Keluarga Malaysia juga, keberkesanan dan keterangkuman masyarakat Orang Asli menjadi agenda penting agar mereka dapat bersama-sama memikul tanggungjawab membangunkan negara menerusi perkongsian semangat satu tanah air tercinta,” katanya, dipetik dari laporan Bernama.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam majlis tinjauan mesra sempena Program Khidmat Komuniti Bersama UPNM dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) di Sekolah Kebangsaan Bukit Rok.

Antara yang hadir ialah Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid, Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Dr Mah Hang Soon, Ketua Pengarah JAKOA Sapiah Mohd Nor dan Naib Canselor UPNM Leftenan Jeneral Datuk Hasagaya Abdullah.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata bantuan pendidikan, yang telah dihentikan semasa negara di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH), kini telahpun disambung semula dengan peruntukan tambahan bagi membantu pendidikan anak Orang Asli.

“Kita juga mempermudahkan pembelajaran anak Orang Asli yang tinggal jauh di pedalaman dengan menyediakan kemudahan asrama… dahulu kita ada sekolah K9 (Sekolah Model Khas Komprehensif) namun, peluang itu ditambah dengan sekolah K11 (Sekolah Model Khas Komprehensif 11).

“Kita mahu melihat lebih ramai anak Orang Asli belajar sehingga ke peringkat luar negara, bukan hanya mempunyai ijazah sarjana namun sehingga dapat mengenggam ijazah doktor falsafah (PhD),” ujarnya.

Ismail Sabri berkata pembelaan untuk Orang Asli juga dapat dilihat menerusi peruntukan bagi golongan tersebut dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan Bajet 2022.

Perdana menteri berkata semasa menerajui Kementerian Luar Bandar dan Wilayah pada 2018, beliau melantik Ketua Pengarah JAKOA daripada kalangan masyarakat Orang Asli iaitu Datuk Ajis Sitin.

Mengenai Program Khidmat Komuniti Bersama UPNM dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) itu, Ismail Sabri berkata program khidmat komuniti berkonsepkan Service-Learning Malaysia University for Society atau SULAM itu bersifat serampang dua mata iaitu membantu masyarakat setempat dan membentuk sahsiah serta peribadi mahasiswa terlibat.

“Program sebegini juga mendedahkan mahasiswa dengan kemahiran memahami budaya setempat yang amat diperlukan kerana mereka bakal menjadi pemimpin selain pencetus perubahan masa depan setelah menamatkan pengajian dan berkhidmat dalam sektor kerajaan mahupun swasta,” katanya.

Program itu, yang berlangsung sejak seminggu lepas, disertai 50 penuntut perubatan dan 15 pensyarah Fakulti Perubatan dan Kesihatan Pertahanan UPNM bertujuan memberi pendedahan berkaitan tahap kesedaran kesihatan wanita dan kanak-kanak.

Ismail Sabri turut menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman kerjasama strategik antara UPNM dan JAKOA serta penyerahan replika cek bernilai RM90,840 daripada JAKOA kepada universiti itu bagi menaja empat pelajar Orang Asli.

JAKOA membiayai 983 pelajar Orang Asli dalam pelbagai bidang dan peringkat pendidikan dengan kos lebih RM4.2 juta.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat