Mengapa Muhyiddin Berubah Arah?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kritikan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin ke atas pentadbiran Ismail Sabri bin Yaakob dilihat sebagai satu perubahan strategi politik Perikatan Nasional (Perikatan) menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Menurut sumber, kepimpinan Bersatu mendapati Perikatan berpeluang untuk menang lebih banyak kerusi Parlimen berbanding PRU-14,  sekiranya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memimpin Barisan Nasional dan UMNO dalam PRU akan datang.

Semalam Muhyiddin Yassin mengkritik pencapaian ekonomi pentadbiran Ismail Sabri secara terbuka dan berpendapat elok PRU diadakan segera sekiranya kerajaan gagal menyelesaikan masalah ekonomi ini. Muhyiddin yang merupakan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara sebelum ini tidak pernah memberi apa-apa kenyataan yang dilihat boleh melemahkan pentadbiran Ismail Sabri.

Kritikan ini turut dipercayai hasil pemungkiman Bersatu minggu lalu di mana kebanyakan pemimpin parti tersebut berpendapat peluang mereka dalam PRU lebih besar kiranya Ahmad Zahid belum didapati bersalah oleh mahkamah.

“Kita tidak akan memaksa Perdana Menteri memohon pembubaran Parlimen kerana khuatir rakyat akan kecewa dan marah dalam keadaan berhadapan bencana banjir musim tengkujuh ini. Namun kita berpendapat, PRU-15 elok diadakan sebelum kes Ahmad Zahid  di mahkamah berakhir,” jelas sumber terbabit kepada Suara.TV.

Walaupun Umno dan Ahmad Zahid sendiri telah beberapa kali menegaskan Ismail Sabri akan kembali menjadi Perdana Menteri sekiranya BN menang, namun ia tidaklah memberi jaminan apa-apa dan Bersatu percaya isu terbabit boleh dijadikan bahan kempen dalam PRU akan datang.

Sumber dalaman Bersatu ini turut menjelaskan senario politik yang menjadi katalis perubahan strategi politik Perikatan.

“Kita lihat dalam PRN (Pilihan Raya Negeri) Melaka dan Johor, walaupun telah ada ‘poster boy’ namun usaha melantik orang lain selepas pilihan raya sangat besar.

“Lihat di Melaka, walaupun Sulaiman (Datuk Seri Sulaiman Md Ali) yang menjadi ‘poster boy’, ada usaha menjadikan Rauf (Datuk Seri Abdul Rauf Yussuf) sebagai Ketua Menteri. Di Johor lebih serius. Barisan menjanjikan Hasni (Dato’ Ir. Hasni bin Mohammad) sebagai Menteri Besar, namun selepas pilihan raya Onn Hafiz yang menjadi Menteri Besar.

“Jadi kita percaya, rakyat tidak akan percaya Zahid akan melepaskan jawatan Perdana Menteri kepada Ismail Sabri sekiranya Barisan menang. Yang akan mengadap YDP Agong nanti adalah ketua parti yang menang bukannya Ismail Sabri.”

Dalam masa yang sama sumber terbabit mendedahkan bahawa peringkat atasan Perikatan percaya Barisan akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan sekiranya tiada parti mendapat cukup kerusi.

“Kita tahu ada hubungan baik Presiden Umno dan Presiden PKR. Kita percaya tiada satu parti pun akan mempunyai kerusi yang mencukupi (majoriti mudah) untuk membentuk kerajaan. Jadi kemungkinan kerjasama ini akan dibuat selepas PRU-15.”

 

 

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat