Eksport Malaysia lepasi RM1 trilion, petroleum penyumbang utama

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Eksport Malaysia melepasi RM1 trilion dalam tempoh lapan bulan.

Ia jangka masa tersingkat pernah dicatatkan bagi mencapai nilai itu, apabila berkembang 30.3 peratus kepada RM1.014 trilion pada Ogos 2022.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata pertumbuhan eksport telah disumbangkan oleh peningkatan eksport barangan elektrik dan elektronik (E&E), keluaran petroleum, minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit, gas asli cecair (LNG) serta barangan optik dan saintifik.

“Eksport keluaran petroleum, LNG serta barangan optik dan saintifik mencatatkan nilai bulanan tertinggi setakat ini.

“Manakala, eksport ke rakan dagang utama khasnya ASEAN, China, Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan Jepun merekodkan pertumbuhan dua angka. Nilai eksport bulanan tertinggi telah dicatatkan ke Jepun,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Azmin berkata, eksport barangan perkilangan pada Ogos 2022, yang mewakili 84.5 peratus daripada jumlah eksport naik 47.7 peratus tahun ke tahun kepada RM119.48 bilion.

Jelasnya, ini adalah pertumbuhan dua angka yang ke-13 bulan berturut-turut.

“Pertumbuhan ini telah disokong oleh kenaikan eksport barangan E&E, keluaran petroleum, barangan optik dan saintifik serta jentera, kelengkapan dan peralatan, di mana setiap barangan ini telah merekodkan kenaikan melebihi RM1 bilion.

“Eksport hasil galian melonjak 59.1 peratus tahun ke tahun kepada RM10.77 bilion, merupakan dua angka yang ke-18 bulan berturut-turut disumbangkan oleh pertambahan eksport LNG dan petroleum mentah.

“Eksport keluaran pertanian meningkat 42.6 peratus kepada RM10.47 bilion berbanding Ogos 2021, pertumbuhan dua angka yang ke-17 bulan berturut-turut.

“Kenaikan ini disokong oleh eksport yang kukuh bagi minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit,” katanya.

Azmin berkata, perdagangan Malaysia kekal kukuh pada Ogos 2022 dengan mencatatkan pertumbuhan dua angka bagi perdagangan, eksport dan import, menjadikan nilai tertinggi bagi bulan Ogos setakat ini.

Azmin menambah , perdagangan melonjak 56.7 peratus kepada RM265.74 bilion berbanding Ogos 2021, pertumbuhan dua angka yang ke-19 bulan berturut-turut.

“Eksport meningkat 48.2 peratus kepada RM141.33 bilion, pertumbuhan dua angka yang ke-13 bulan berturut-turut.

“Import melonjak 67.6 peratus kepada RM124.41 bilion dan lebihan dagangan berkurang 19.9 peratus kepada RM16.92 bilion,” katanya.

Sementara itu, Azmin berkata bagi tempoh Januari hingga Ogos 2022, perdagangan meningkat 33.1 peratus kepada RM1.873 trilion berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Ujar beliau, import bertambah 36.7 peratus kepada RM858.83 bilion dan lebihan dagangan naik 3.7 peratus kepada RM155.57 bilion.

“Perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan mencatatkan nilai tertinggi bagi tempoh ini,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat