PONTIAN – Isu pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik kembali mencuri perhatian apabila sebuah klinik pergigian didapati melakukan kesalahan tersebut, sekali gus mencetuskan rasa kurang senang orang ramai.
Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Dr Akmal Saleh, menegaskan perbuatan memperlekehkan bendera kebangsaan adalah sesuatu yang tidak boleh dikompromi dan perlu dikenakan hukuman berat bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
“Selagi tiada hukuman berat kepada mereka yang cuba memperlekehkan bendera Malaysia, selagi itulah perbuatan ini akan berulang. Bila kita tegur, kita dianggap rasis atau mempolitikkan, tetapi ini soal penghormatan terhadap tanah air kita, bukan soal bangsa atau politik,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Beliau turut menyatakan rasa kecewa kerana isu sensitif melibatkan simbol kebangsaan sering dipandang remeh, lebih-lebih lagi ketika negara bersiap sedia menyambut Hari Kebangsaan.
Insiden bendera terbalik bukan kali pertama berlaku, malah sebelum ini beberapa kes serupa turut tular di media sosial dan mendapat perhatian pihak berkuasa.
baca juga :
“Jika ini harga yang perlu dibayar pertahankan maruah negara, saya akan lawan” – Akmal



