KUALA LUMPUR – Jangan kerana ada kepentingan tertentu sehingga kita jauh daripada keadilan, kata Timbalan Presiden Muafakat Nasional Profesor Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah.
Beliau yang juga pendakwah bebas mempersoalkan, kenapa pendakwaan dan tindakan tidak dikenakan ke atas ultra kiasu yang terbalikkan bendera? Kenapa hanya Dr Akmal!
“Adakah kerana kita takut hilang kuasa? Keadilan untuk semua, bukan terpilih.
“Saya amat bersetuju dengan Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan (Tok Mat) yang berkata, tindakan undang-undang tidak seharusnya hanya dikenakan terhadap Ketua Pemuda Umno.
“Setiap tindakan pasti mengundang reaksi, justeru penting untuk semua pihak bertenang dan tidak mencetuskan ketegangan yang boleh menggugat keharmonian negara,” katanya.
Menurut Ridhuan Tee, isu terbalikkan bendera ini atau memasangkan bendera secara terbalik bukan baharu, tetapi telah lama.
Ujarnya, bukan sahaja terbalik, malah lebih dahsyat lagi, diubah, dicatkan warna hitam sebagai tanda protes (Ogos 2019), bendera diubah daripada bintang 14 bucu kepada 5 bucu (November 2019 – pengaruh komunis), dan macam-macam lagi. Kenapa pendakwaan dan pertuduhan tidak dibuat?
“Kenapa hanya Dr Akmal? Dr Akmal bertindak atas provokasi? Siapa yang lebih bersalah? Orang yang provoke atau orang bertindak atas provoksi tersebut. Yang buat provokasi, cepat-cepat minta maaf. Maka dimaafkanlah.
“Kita yang bertindak atas provokasi tersebut, terus dikenakan tindakan. Ini tak boleh jadi?
“Bertindak biarlah adil. Jangan kerana ada kepentingan tertentu sehingga kita jauh daripada keadilan. Kita nak jawab apa nanti di hadapan RabbulJalil? soal beliau dalam kenyataan pada Rabu.
Dakwa Ridhuan Tee, ultra kiasu terus bertepuk tangan, gembira. Mereka lepas, kita kena.
“Berpolitik jangan sampai merugikan agama, bangsa dan negara.
“Dalam keadaan kita bersolidariti untuk arwah Zara Qairina, kita juga perlu bersoldariti untuk Dr Akmal, terutamanya pemimpin Umno.
“Jangan hanya berdiam diri untuk menjaga kepentingan kuasa. Zaman sudah berubah. Kita perlu tampil untuk pertahankan hak kepada yang berhak. Baharu itu namanya adil,” katanya.



