Oleh Zihan Zari
KUALA LUMPUR – Pameran Hadiah dari ASEAN di Balai Seni Negara yang berakhir pada 31 Julai 2025 dilanjutkan lagi sehingga 31 Disember ini.
Balai Seni Negara dalam kenyataannya memaklumkan bahawa tempoh pelanjutan ini dibuat susulan sambutan yang amat menggalakkan daripada para pengunjung.
Di samping itu, menyokong penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN yang bakal berlangsung pada Oktober depan.
“Inisiatif ini mencerminkan komitmen Malaysia dalam menjadikan seni dan budaya sebagai teras pengukuhan hubungan serantau, di samping memartabatkan seni sebagai medium diplomasi budaya yang berkesan.
“Pameran yang dibuka secara rasmi pada 17 Februari lalu itu, menampilkan sebanyak 33 karya seni yang dihadiahkan kepada Malaysia oleh negara-negara anggota Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) dan ASEAN+6 (Korea Selatan, Jepun, China dan India) antara tahun 1960 hingga 2009,”kata kenyataan itu lagi.
Menurutnya, karya-karya tersebut mencerminkan hubungan diplomatik yang erat serta warisan budaya yang dikongsi bersama menerusi ekspresi seni visual yang pelbagai.
Karya seniman terkemuka yang dipamerkan antaranya, Lim Nan Seng, Mii Awas, Aw Eng Kwang, Chang Yong Chia, Amir B. Tadok, Ahmad B. Kassim, Linggam, dan Abil B. Manan dari Malaysia; Nurdian Ichsan dari Indonesia; Ahmad Abu Bakar dan Thomas Cheong Kah Ho dari Singapura; serta barisan nama besar dari Thailand, Jepun, Korea, China dan India.
Dalam kenyataan sama, Balai Seni Negara menjelaskan pelanjutan pameran ini dijangka memberi lebih banyak peluang kepada masyarakat umum dan pelawat antarabangsa untuk menghargai koleksi bersejarah ini, sekali gus memperkukuh peranan Malaysia sebagai pusat budaya dan diplomasi seni serantau.
“Orang ramai dan peminat seni dijemput untuk mengunjungi pameran ini yang dibuka setiap hari dari jam 9 pagi hingga 5 petang di Balai Seni Negara.
“Untuk maklumat lanjut, sila layari www.artgallery.gov.my atau
ikuti media sosial rasmi Balai Seni Negara, ”tambahnya. – SUARA.TV



