Syed Saddiq Arah Agih Wang RM1 Juta Kepada Exco Armada Bersatu – Saksi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengarahkan RM1 juta yang dikeluarkan daripada akaun ARMADA diagih-agihkan kepada ahli exco parti itu.

Penguasa Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Syahmeizy Sulong, 37, dalam keterangannya di Mahkamah Tinggi di sini hari ini, berkata arahan itu dikeluarkan oleh Syed Saddiq pada 1 April 2020 iaitu sehari selepas rumah Syed Saddiq digeledah pada 31 Mac 2020 membabitkan siasatan kehilangan RM250,000 daripada kediamannya.

“Sebanyak RM650,000 diberikan kepada Ketua Penerangan Pemuda Bersatu Wilayah Persekutuan, Muhammad Daniel Kusari manakala RM250,000 diserahkan kepada ahli BERSATU, Muhammad Naqib Ab Rahim.

“Siasatan mendapati wang RM1 juta yang dikeluarkan pada 6 Mac 2020 terlebih dahulu disimpan di rumah Rafiq Hakim Razali yang ketika itu Penolong Bendahari ARMADA BERSATU,” katanya.

Arah bawa keluar wang kerana takut dijumpai SPRM

Saksi ke-25 pendakwaan itu berkata, pada 31 Mac 2020 Syed Saddiq menghubungi Rafiq Hakim dan mengarahkan beliau membawa keluar wang itu dari rumahnya kerana risau akan dijumpai dan disita oleh SPRM.

Hasil siasatan mendapati Syed Saddiq pada awalnya mengarahkan pemegang amanah, Rafiq Hakim dan Penolong Setiausaha ARMADA, Ahmad Redzuan Mohamed Shafi untuk mengeluarkan wang itu daripada akaun CIMB, KL Sentral.

Ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Asyraf Mohamed Tahir, berhubung sebab pengeluaran wang itu, Mohd Syahmeizy, berkata Syed Saddiq mengeluarkan arahan itu kerana merasakan kedudukannya dalam Pakatan Harapan (PH) tidak kukuh.

“Ahmad Redzuan mencadangkan wang itu diagihkan kepada Muhammad Daniel kerana beliau mempunyai peti besi di rumahnya selain disimpan oleh Muhammad Naqib yang juga ahli perniagaan.

“Pada 5 Mac 2020, pihak SPRM menggeledah rumah Muhammad Daniel dan menjumpai serta menyita wang RM425,537 manakala bakinya sudah diagihkan kepada ketua-ketua bahagian dan ahli ARMADA di seluruh negara,” katanya.

Arah keluar wang selepas Langkah Sheraton

Mohd Syahmeizy, berkata idea pengeluaran wang itu dibangkitkan selepas insiden `Langkah Sheraton’ pada 23 Februari 2020, di mana Syed Saddiq dan beberapa pemimpin ARMADA mengadakan pertemuan di kediaman beliau di Petaling Jaya bagi membincangkan dana dalam akaun berkenaan.

Katanya, Syed Saddiq amat risau mengenai pergolakan selepas `Langkah Sheraton’ dan meminta kepastian mengenai baki wang dalam akaun ARMADA Pusat yang disifatkan hasil titik peluhnya sepanjang memegang jawatan ketua parti itu.

Sementara itu, ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin sama ada wujud konspirasi untuk mengenakan Syed Saddiq seperti didakwa oleh pihak pembelaan, Mohd Syahmeizy, menafikan perkara itu.

Syed Saddiq lambat dituduh kerana SPRM buka lima kertas siasatan

Saksi kemudian ditanya mengapa Syed Saddiq dituduh kali pertama pada 22 Julai 2021 sedangkan izin untuk mendakwa dikeluarkan pada 4 Januari tahun sama.

Mohd Syahmeizy: Bagi siasatan terhadap YB Syed Saddiq, pihak SPRM membuka lima kertas siasatan yang berbeza aduan dan maklumat.

“Pertuduhan dibuat terlalu lama kerana saya memerlukan keterangan saksi yang ‘segerak’ dengan kertas siasatan lain kerana ketika itu masih ada kertas siasatan yang belum siap terhadap YB Syed Saddiq,” katanya.

Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali iaitu Penolong Bendahari Armada BERSATU yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta, melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini, pada 6 Mac 2020 mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun, sebat dan dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq melupuskan wang terbabit.

Syed Saddiq didakwa melakukan perbuatan itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini, antara 8 hingga 21 April 2018 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun, sebat dan denda.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang adalah hasil daripada aktiviti haram.

Syed Saddiq dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, Syed Saddiq berdepan hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram.

Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid bersambung esok. – BH

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat