SEREMBAN – Dalam kehangatan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, semua pemimpin dan jentera politik wajib bertanggungjawab terhadap setiap perkataan yang dilontarkan.
Ketua Penerangan Umno Datuk Seri Azalina Othman Said mengingatkan, isu yang menyentuh kaum, agama dan institusi diraja bukan alat untuk membangkitkan kemarahan atau ketakutan demi meraih undi.
“Atas sebab itu, kenyataan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bahawa “Cina ada China, India ada India, Kemboja ada Kemboja, Melayu hanya ada Malaysia” tidak boleh dipandang ringan.
“Retorik sedemikian memberikan gambaran seolah-olah rakyat Malaysia berketurunan Cina dan India mempunyai tanah air lain, sedangkan hanya orang Melayu benar-benar memiliki Malaysia.
“Hakikatnya, bagi jutaan rakyat Malaysia berketurunan Cina dan India, Malaysia bukan tempat persinggahan. Malaysia ialah tanah air mereka,” tegas Azalina.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) itu berkata, Perlembagaan Persekutuan telah menetapkan kedudukan Islam, institusi Raja-Raja Melayu serta hak Melayu dan Bumiputera.
Tegas beliau, Perlembagaan yang sama turut menjamin hak dan kedudukan sah setiap warganegara tanpa mengira keturunan.
“Setiap warganegara yang sah mempunyai tanah air yang sama, dilindungi oleh Perlembagaan yang sama dan berhak menjalani kehidupan dengan aman serta bermaruah.
“Rakyat Negeri Sembilan berhak menikmati kempen yang membincangkan perkara yang benar-benar mempengaruhi kehidupan
mereka: kos sara hidup, peluang pekerjaan, perumahan, pendidikan, kesihatan, pembangunan setempat dan masa hadapan anak-anak.
“Barisan Nasional (BN) tidak memerlukan politik yang menakut-nakutkan rakyat untuk memperoleh sokongan.
“Kita menawarkan kestabilan, pengalaman, kesederhanaan dan sebuah negara yang memberikan tempat kepada setiap warganegara.
“BN ialah rumah bersama seluruh rakyat Malaysia. Kita tidak akan membenarkan sesiapa merobohkan rumah ini demi
keuntungan politik sementara,” kata Azalina mengingatkan.
Ahli Parlimen Pengerang itu memberitahu, BN merupakan sebuah gabungan yang dibina atas kesepakatan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, agama dan latar
belakang.
Ujarnya, kerjasama antara Umno, MCA, MIC serta parti-parti komponen BN membuktikan bahawa kestabilan negara tidak lahir
daripada politik kebencian, tetapi daripada keupayaan rakyat yang berbeza untuk duduk, berunding dan membina masa hadapan bersama.
“Itulah jati diri BN sejak dahulu. Kita mempertahankan kepentingan masyarakat Melayu dan Bumiputera seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, tanpa menafikan hak, maruah dan kedudukan sah mana-mana warganegara Malaysia,” katanya.



