DOF guna teknologi satelit pantau pergerakan Penyu Agar

Oleh Zihan Zari

CHERATING – Data pemantauan satelit Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) menunjukkan dua ekor ibu Penyu Agar yang dipasang penjejak satelit di Pantai Cherating masih berada di sekitar perairan Cherating.

DOF dalam kenyataan berkata, pemantauan ini membolehkan corak pergerakan dan penggunaan habitat spesies berkenaan dipantau bagi menyokong pengurusan konservasi berasaskan bukti saintifik.

“Pemantauan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh penyelidikan penyu marin melalui penggunaan teknologi, yang membolehkan jabatan memperoleh maklumat mengenai pergerakan penyu selepas musim bertelur serta mengenal pasti habitat penting bagi spesies berkenaan.

“Pemasangan penjejak satelit telah dilaksanakan pada 5 Julai lalu menerusi kerjasama DOF dan Institut Penyelidikan Perikanan (IPP) Rantau Abang terhadap dua ekor ibu penyu yang mendarat untuk bertelur di Pantai Cherating, ”kata kenyataan itu.

Katanya, kedua-dua penyu tersebut kemudiannya dilepaskan semula ke habitat semula jadi dari Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu (PKPP) Cherating, di sini pada 8 Julai lalu, jam 6 petang.

“Penyu pertama yang dikenal pasti melalui tag MYC6603/MYC6604 seberat 116 kilogram (kg) dan direkodkan mendarat buat kali pertama pada 1 Julai lalu dengan 140 biji telur sebelum kembali mendarat pada 12 Julai lalu dan menghasilkan 76 biji telur. Manakala penyu kedua pula membawa tag MYC6601/MYC6602 pula seberat 159 kg.

“Rekod menunjukkan penyu tersebut mendarat pada 2 Julai lalu dengan 112 biji telur dan sekali lagi pada 16 Julai lalu dengan 82 biji telur, ”katanya lagi.

Ujarnya, sistem penjejak satelit menghantar maklumat lokasi secara automatik ke satelit setiap empat jam apabila penyu timbul ke permukaan untuk bernafas.

“Sehingga kini, salah seekor penyu telah direkodkan muncul ke permukaan sebanyak 18 kali, membolehkan data lokasi dihantar secara berkala melalui sistem satelit, ”ujarnya lagi.

Dalam perkembangan sama, Pengarah Perikanan Pahang, Roslan Abu Hassan berkata, penggunaan teknologi penjejak satelit membolehkan jabatan mengumpulkan maklumat lapangan secara lebih sistematik bagi menyokong usaha pemuliharaan penyu.

Menurut beliau, data yang diterima melalui penjejak satelit membolehkan jabatan meneliti corak pergerakan, laluan migrasi dan penggunaan habitat penyu selepas musim bertelur.

“Maklumat ini menjadi asas penting dalam merancang langkah pengurusan dan konservasi spesies berkenaan secara lebih berkesan.

“Maklumat yang diperoleh juga membantu mengenal pasti habitat penting yang perlu diberi perhatian dalam usaha melindungi penyu, di samping memperkukuh penyelidikan dan pengurusan sumber marin berasaskan bukti saintifik, ”katanya.

Katanya lagi, kerjasama antara DOF, institusi penyelidikan dan sektor swasta amat penting dalam memperluaskan penggunaan teknologi bagi menyokong usaha pemuliharaan penyu serta memperkaya data saintifik yang menjadi asas kepada pengurusan sumber marin.

“Kos perolehan bagi setiap unit penjejak satelit adalah sekitar RM21,000 dan dibiayai menerusi peruntukan Ecological Fiscal Transfer (EFT) serta sumbangan daripada Bumi Armada Berhad.

“Data yang diperoleh daripada pemantauan satelit akan dimanfaatkan bagi menyokong penyelidikan DOF dalam memahami taburan dan pergerakan penyu, sekali gus memperkukuh perancangan pengurusan serta pemuliharaan spesies ini, ”tambahnya. – SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat