KUALA LUMPUR — Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengalu-alukan keputusan kerajaan mendedahkan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Lembaga Tabung Haji (TH), sambil menyifatkan langkah itu memberi ruang kepada rakyat menilai dapatan siasatan secara telus dan adil.
Muhyiddin berkata, penubuhan RCI berkenaan diputuskan oleh Jemaah Menteri ketika beliau memegang jawatan Perdana Menteri.
“Justeru, saya mengalu-alukan keputusan Kerajaan untuk mendedahkan Laporan RCI Tabung Haji.
“Pendedahan laporan ini memberikan peluang kepada rakyat untuk mengetahui dan menilai dapatan-dapatan suruhanjaya secara telus dan adil,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau bagaimanapun berkata terdapat beberapa aspek dalam laporan tersebut yang memerlukan penjelasan lanjut daripada kerajaan.
Menurutnya, antara perkara yang perlu diperincikan ialah laporan audit forensik terhadap 14 pelaburan bermasalah yang didakwa menyebabkan Tabung Haji menanggung kerugian berbilion ringgit.
Sehubungan itu, Muhyiddin mencadangkan supaya Sidang Khas Dewan Rakyat bagi membahaskan Laporan RCI Tabung Haji yang dijadualkan pada 11 Ogos depan dilanjutkan sekurang-kurangnya dua hari.
Katanya, lanjutan tempoh itu penting bagi memberi peluang kepada lebih ramai Ahli Parlimen mengambil bahagian dalam perbahasan serta mengemukakan hujah yang bernas dan substantif.
Menurut beliau, perbahasan yang menyeluruh akan membantu usaha menambah baik aspek pengurusan, tadbir urus dan prestasi Tabung Haji sebagai institusi utama yang menguruskan pelaburan serta urusan ibadah haji umat Islam di negara ini.
Kerajaan pada 29 Julai lalu bersetuju menyahklasifikasikan serta mendedahkan kepada umum laporan RCI Tabung Haji yang menyiasat isu pengurusan institusi itu bagi tempoh 2014 hingga 2020, sebelum laporan berkenaan dibentangkan dan dibahaskan dalam sidang khas Parlimen pada 11 Ogos ini.



