Electoral pact BN-PN bukan ancaman kepada bukan Melayu, BN dan PN ada sejarah menjaga semua kaum – Jalaluddin

SEREMBAN – Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias menegaskan kerjasama pilihan raya (electoral pact) antara BN dan Perikatan Nasional (PN) bertujuan membentuk kerajaan negeri yang stabil selepas Pilihan Raya Negeri (PRN), bukannya menjejaskan hak masyarakat bukan Melayu dan bukan Islam seperti didakwa pihak tertentu.

Beliau berkata, dakwaan kononnya masyarakat bukan Melayu akan ditindas sekiranya BN dan PN membentuk kerajaan hanyalah propaganda politik yang dimainkan bagi memburukkan kerjasama kedua-dua gabungan itu.

“Kita buat electoral pact dengan Perikatan Nasional untuk membentuk kerajaan selepas pilihan raya. Jadi tidak timbul soal masyarakat bukan Melayu atau bukan Islam akan tertindas dengan kerjasama ini,” katanya ketika berucap pada program Nogori Beradat, Kito Sepakat di Ampangan, pada Ahad.

Menurut beliau, kebimbangan yang dibangkitkan itu juga tidak berasas kerana negeri-negeri yang ditadbir PAS tidak pernah menzalimi masyarakat bukan Islam.

Katanya, pengalaman pentadbiran PAS di Kelantan, Terengganu dan Kedah membuktikan masyarakat bukan Islam terus bebas mengamalkan agama serta menjalani kehidupan seperti biasa.

“Sistem pentadbiran PAS di Kelantan, Terengganu dan Kedah tidak pernah menzalimi bukan Islam,” katanya.

Jalaluddin turut menegaskan BN sendiri merupakan gabungan parti berbilang kaum yang sejak penubuhannya tidak pernah mengamalkan dasar yang mendiskriminasikan masyarakat bukan Islam atau bukan Melayu.

Beliau berkata, sepanjang menjadi wakil rakyat, pelbagai fitnah disebarkan kononnya beliau tidak menyalurkan bantuan kepada kuil, sekolah jenis kebangsaan serta masyarakat bukan Melayu dan bukan Islam.

“Difitnah kononnya saya tidak beri bantuan kepada kuil, sekolah jenis kebangsaan dan masyarakat bukan Melayu serta bukan Islam,” katanya.

Beliau bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut dan mencabar mana-mana pihak menyemak sendiri rekod perkhidmatannya sebagai wakil rakyat.

“Mereka boleh semak kad laporan saya. Semua pihak mendapat bantuan, tiada sesiapa yang didiskriminasi,” katanya.

Jalaluddin berkata, isu perkauman dan agama hanya dibangkitkan setiap kali musim pilihan raya sebagai taktik untuk menakutkan pengundi serta memburukkan persefahaman antara BN dan PN.

“Isu ini hanya timbul ketika pilihan raya kerana mereka mahu memburukkan kerjasama ini,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat