Peruntukan RM140 Juta Naik Taraf Hospital Sultanah Aminah Secara Berfasa

- Advertisement -

JOHOR BAHRU – Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM140 juta bagi menaik taraf Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan negeri Ling Tian Soon.

Ling berkata kerja-kerja naik taraf termasuk melibatkan elektrik dan sistem di hospital itu akan dilaksanakan bermula bulan depan dan mengambil masa tiga tahun untuk disiapkan.

“Naik taraf adalah secara berfasa, operasi di hospital akan diteruskan seperti biasa, namun mungkin akan ada pesakit dipindahkan ke wad atau hospital lain supaya mereka dapat meneruskan rawatan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri taklimat kerja naik taraf HSA di sini hari ini.

Beliau berkata antara skop naik taraf HSA meliputi bekalan elektrik daripada 6.6 kilovot (kV) kepada 33 kV, sistem automasi bangunan, gas perubatan, pencegahan kebakaran dan teknologi maklumat (ICT).

Sementara itu, Ling berkata peningkatan kes jangkitan saluran pernafasan iaitu Penyakit Seperti Influenza (ILI) dan jangkitan saluran pernafasan atas (URTI) dalam kalangan kanak-kanak menyebabkan wad kanak-kanak hospital di Johor mengalami sedikit kesesakan.

Bagaimanapun, beliau berkata kadar penggunaan katil di 13 hospital kerajaan di negeri ini masih lagi terkawal iaitu pada kadar 76 peratus daripada 5,307 katil keseluruhannya.

Katanya, penggunaan katil bagi kes COVID-19 juga meningkat pada kadar 22 peratus bagi Minggu Epidemiologi (ME) ke-28/2022, manakala katil Unit Rawatan Rapi (ICU) COVID-19 turut bertambah kepada 17.5 peratus pada minggu sama.

“Pesakit COVID-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilator) meningkat daripada tiga pesakit pada ME ke-27/2022 kepada enam pesakit pada ME ke-28/2022,” katanya.

Berhubung isu parkir di HSA, Ling berkata pihak konsesi terlibat dijangka membentangkan perancangan untuk menambah kira-kira 70 lot parkir baharu pada minggu depan.

Setakat ini HSA mempunyai 920 lot parkir. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat