PM cadang Perodua, TNB hasilkan kereta elektrik

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyeru Perodua dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) menjalin kerjasama untuk menghasilkan kereta elektrik bagi membantu negara mencapai neutral karbon 2050.

Katanya, jalinan kerjasama mantap kedua-dua syarikat besar negara ini akan mencipta lebih banyak kejayaan untuk dimanfaatkan oleh seluruh Keluarga Malaysia.

“Kerjasama seperti ini dapat membantu mencapai matlamat neutral karbon di Malaysia pada tahun 2050, sepertimana yang telah dipersetujui di peringkat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“TNB kini sedang berusaha untuk meningkatkan pengeluaran elektrik menggunakan sumber tenaga yang bersih serta penyediaan stesen pengecas kenderaan elektronik yang secukupnya.

“Pada masa yang sama, Perodua boleh mengambil peluang ini dengan meneroka peluang baharu seperti menghasilkan kenderaan elektrik berkualiti tinggi yang mampu dimiliki oleh Keluarga Malaysia.

“Kedua-dua pihak boleh berkerjasama untuk memperkenalkan kadar caj yang mampu dilanggani oleh semua,” ucap Perdana Menteri sempena pelancaran Perodua Alza serba baharu, di sini, pada Rabu.

Malah katanya, syarikat telekomonikasi negara seperti Telekom Malaysia juga dapat membuka kerjasama dengan kedua- dua pihak ini untuk menyediakan pakej data yang mampu memudahkan para pengguna untuk membuat tempahan caj kenderaan secara dalam talian.

Ismail Sabri menegaskan, kerjasama pintar seperti ini perlu dilaksanakan segera bagi mengatasi kesan perubahan iklim yang melanda dunia.

Malah, perjanjian seperti ini dapat menjamin kelestarian dan pembangunan negara yang mapan, katanya.

“Kerajaan pula sedia berbincang dengan pihak swasta untuk memastikan dasar atau initiatif yang diperkenalkan bersesuaian dengan hala tuju negara.

“Saya juga baru-baru ini telah meminta Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terletak dalam wilayah High- tech Valley untuk membangunkan sebuah pusat latihan dan penyelidikan iaitu Center of Advanced Automative Research and Training (CAART),” ujarnya.

Tambah Perdana Menteri lagi, kerajaan amat berbangga dengan kejayaan yang telah dicapai oleh Perodua yang kini merupakan syarikat automotif nasional utama negara sejak tahun 2006 dan menjadi jenama buatan tempatan yang dipercayai di kalangan Keluarga Malaysia.

“Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada pemegang saham Perodua, antaranya Permodalan Nasional Berhad, UMW Holdings Berhad, MBM Resources Berhad, Daihatsu Motor Company of Japan dan sebagainya kerana masih dapat bekerjasama secara harmoni.

“Kestabilan ini amat penting bagi mengukuhkan industri automotif negara dan memberi keyakinan bukan sahaja kepada para pelanggan dan para pekerjanya malah kepada kerajaan.

“Usaha yang telah dilaksanakan oleh pihak Perodua juga harus menjadi contoh oleh syarikat-syarikat tempatan yang lain di mana kepentingan negara didahulukan demi kesejahteraan semua.

“Saya percaya model baharu ini akan diterima baik oleh seluruh Keluarga Malaysia kerana harganya yang kompetitif dan aspek keselamatannya dipertingkatkan sesuai dengan aspek pemanduan di Malaysia,” jelas beliau.

Pada masa yang sama, Ismail Sabri berharap Perodua dapat mencari peluang untuk memasarkan produk-produknya hingga ke peringkat antarabangsa.

“Saya mengambil maklum bahawa kenderaan keluaran Perodua kini bertapak di enam buah negara dan saya yakin jumlah eksport itu mampu dipertingkatkan pada masa akan datang.

“Kerajaan juga bersedia membantu pihak Perodua untuk meluaskan pasaran yang sedia ada dan membantu mencari pasaran baharu.

“Saya berharap Perodua akan terus mempertingkatkan kebolehan pengeluarannya sekali gus mencapai skala ekonomi yang kompetitif setaraf dengan syarikat-syarikat asing di rantau ini.

“Peluang untuk kita maju amat cerah jika kita terus berusaha dan bekerjasama untuk mencapai kejayaan yang kita inginkan.

“Saya berdoa agar Perodua terus mencapai kejayaan dan dapat mengharumkan nama negara di persada dunia,” katanya.

Menurut beliau lagi, Perodua turut membuktikan komitmen berterusan kepada sektor automotif tempatan dengan pembelian komponen automotif sebanyak RM7 bilion secara purata setiap tahun.

“Keuntungan daripada pembelian komponen tempatan ini dapat digunakan oleh syarikat-syarikat tempatan untuk terus memajukan perniagaan masing-masing sama ada mengembangkan operasi ataupun melabur dalam teknologi baharu.

“Saya difahamkan terdapat syarikat komponen tempatan yang telah menjadi pembekal komponen kepada syarikat Daihatsu di Jepun.

“Ini satu pencapaian yang amat membanggakan negara kerana lazimnya kita import komponen dari Jepun tetapi kini kita yang mengeksportkannya ke Jepun,” ucap beliau.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat