Zalina tidak ke luar negara, tak terima rawatan, telefon tidak aktif sejak November 2021 – polis

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan bekas personaliti TV3, Zalina Azman, 58, tiada melakukan pergerakan ke luar negara ataupun menerima rawatan perubatan di mana-mana hospital, malah nombor telefon juga tidak aktif sejak dilaporkan hilang pada November tahun lalu.

Itu antara hasil siasatan diperoleh polis yang melakukan pelbagai usaha untuk mengesan Zalina atau turut dikenali sebagai Zally, termasuk saling bertukar maklumat dengan pelbagai agensi seperti Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen), Kementerian Kesihatan (KKM), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan syarikat telekomunikasi.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim, berkata pertukaran maklumat itu mengambil masa dan membabitkan proses tertentu untuk mendapatkan keputusannya.

Beliau bagaimanapun menjelaskan bahawa sebelum pertukaran maklumat dilakukan, polis sudah memulakan siasatan sebaik saja menerima laporan kehilangan mangsa daripada anak lelakinya, Mikhael Norman, 33, pada 29 November tahun lalu.

“Pertukaran maklumat dengan beberapa agensi seperti Imigresen, KKM, SSM dan syarikat telekomunikasi sudah dilakukan.

“Antaranya, hasil siasatan mendapati tiada pergerakan ke luar negara oleh mangsa (Zalina), malah tiada rawatan perubatan diterimanya di mana-mana hospital dan nombor telefon mangsa juga tidak aktif sejak dilaporkan hilang.

“Justeru selepas usaha berkenaan (mencari Zalina) tidak membuahkan hasil, pihak polis bertindak mengeluarkan hebahan bagi membantu siasatan,” katanya lapor BH pada Rabu.

Mohd Iqbal memaklumkan, hebahan orang hilang kepada umum adalah langkah terakhir dalam usaha menjalankan siasatan kes orang hilang.

“Polis tidak melambatkan hebahan, sebaliknya kita mengambil masa untuk membuat semakan dengan beberapa agensi berkaitan dalam usaha mengesan mangsa.

“Ia adalah perkara biasa dalam siasatan kes orang hilang, dan hebahan ini juga membolehkan orang awam menyalurkan maklumat.

“Usaha mengesan mangsa memang ada dijalankan selama ini, cuma kita melipatgandakan lagi usaha berkenaan,” katanya.

Penjelasan diberikan Mohd Iqbal itu sekali gus menjawab persoalan ramai mengapa polis mengambil masa hingga lapan bulan sejak kehilangan mangsa sebelum membuat hebahan umum.

Media sebelum ini melaporkan polis giat mencari Zalina yang dilaporkan hilang selepas Mikhael gagal menghubunginya sejak 24 November 2021 bagi memaklumkan bahawa bapa personaliti televisyen itu dimasukkan ke hospital.

Dalam perkembangan sama, seorang individu iaitu Mosyuki Borhan mendakwa seorang wanita seperti Zalina muncul di kafe miliknya di Shah Alam pada jam 1 petang, Ahad lalu dalam keadaan cemas dan menggigil ketakutan.

Malah katanya, wanita berkenaan menyatakan bahawa ‘saya takut besi’ dan terus berlalu tanpa memesan makanan.

Dia kemudiannya membuat laporan polis berkenaan perkara itu sekiranya benar ia menjadi petunjuk polis untuk mengesannya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat