Kawan tidak akan selamanya kawan, musuh tidak akan selamanya kekal musuh dalam politik – Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan

KUALA LUMPUR – Ketegangan yang berlaku dan berlarutan antara PAS dan BERSATU hari ini boleh disifatkan sebagai sahabat tidak akan selamanya kekal sahabat dan musuh tidak akan selamanya kekal menjadi musuh.

Ketua Penerangan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan Muhammad Nasrun Nasaruddin berkata langkah PAS memutuskan kerjasama dengan BERSATU pada 8 Jun lepas adalah biasa dalam politik dan memperlihatkan PAS mahukan satu perubahan.

Langkah itu dilihat mungkin PAS benar-benar bertujuan untuk kembali mewujudkan perpaduan ummah dalam kalangan orang Melayu dan Islam di negara ini,” katanya.

“Pandangan peribadi saya, ialah mungkin PAS mahu menghidupkan kembali penyatuan ummah kerana orang Melayu dan orang Islam tidak akan mendapat apa-apa manfaat daripada perpecahan parti orang Melayu yang berlaku sekarang,” katanya.

Mengulas lanjut ketegangan yang wujud antara PAS dan BERSATU serta Perikatan Nasional (PN), beliau berkata apa yang dilihat sekarang ialah PAS cuba berkembang dengan mencari gandingan dan kerjasama yang baharu.

Menurut beliau, dalam era politik sekarang ini tiada satu parti politik yang betul-betul dominan membuatkan parti perkenaan perlu mencari parti lain untuk menjalinkan kerjasama.

“Tiada satu pun parti dominan dalam era politik sekarang, kena juga cari kawan,” ujarnya.

Bagi Muhammad Nasrun, langkah diambil PAS ialah untuk memastikan parti mereka kekal relevan dan mereka masih ada pilihan jika landskap politik dalam negara berubah.

Dalam politik, parti yang tidak menjalinkan kerjasama atau berada dalam satu rangkaian ia akan menyekat ruang untuk parti itu bergerak atau berkembang, kata beliau.

“Kita (orang Melayu) dah berpecah dan dipecahkan terlalu lama dan ada terlampau banyak parti Melayu hari ini jadi jika PAS melihat masa depan untuk menyatukan kembali orang Melayu dan umat Islam, ia adalah satu yang baik,” katanya.

Pada 13 Februari lalu, BERSATU memecah Timbalan Presidennya Datuk Seri Hamzah Zainudin kerana didakwa melanggar disiplin parti dan mengkritik Presiden BERSATU Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Susulan dipecat, Datuk Seri Hamzah mewujudkan satu gerakan politik iaitu Gerakan RESET.

Pada 2 April, PAS mula beri sokongan terbuka kepada Datuk Seri Hamzah dan pada 13 Jun lalu beliau menubuhkan parti baharu iaitu Parti Wawasan Negara.

Pada tarikh sama penubuhan parti itu, Datuk Seri Hamzah disahkan kekal sebagai Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat dengan sokongan penuh daripada Ahli Parlimen PAS.

author avatar
Ibnu Khusairy Aris
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat