Indahnya kristal!

- Advertisement -
Oleh :
ChM.Dr Hamizah Mohd Zaki

Penjual kristal di jualan car boot di United Kingdom mengajar saya mengenal ketulenan kristal. Hanya, dengan, meletakkan, barangan kristal contohnya cawan kristal berkaki (flute) di atas satu permukaan meja yang rata dan kukuh kemudian “menjentik” tepi permukaan flute tersebut. Flute kristal akan memberi bunyian “tingggg” yang bertalun, manakala, flute daripada kaca, akan memberi bunyi, “ting”, tanpa gema.

Sebagai seorang ahli kimia, di sini bermula keghairahan saya, mencari dan mempelopori kristal. Mengapa bunyi kristal lain dari kaca biasa? Mengapa kristal lebih cantik? Mengapa kristal lebih berkilauan dari kaca? Ironinya, Superman lemah dengan kristal Kriptonit!!!!

Indahnya kristal

Masyarakat Greek purba telah menamakan kristal Quartz iaitu sejenis mineral kristal hasil gabungan atom silikon dan oksigen, sebagai crustallos atau secara fonotiknya adalah kroos’-tal-los yang bermaksud sejuk dan “jatuh” (cold and drop). Kristal ini sangat cantik dan berkilauan berbanding kaca. Mengapa perkara ini berlaku?

Keindahan kristal sebenarnya bermula daripada susunan atom atau zarah-zarah yang telah disusun dalam corak geometri yang mempunyai simetri tertentu yang berulang-ulang dalam tiga dimensi. Di samping itu, ia membentuk kekisi atau sudut yang seragam antara satu susunan lapisan ke lapisan yang seterusnya, terikat kepada satu corak tetap di setiap lapisan dan mempunyai ikatan kimia yang sangat kukuh.

Ketahuilah, perbezaan susunan atom kristal berbanding atom-atom kaca, ibarat langit dan bumi!

Namun begitu, bagi menghasilkan kristal yang lutsinar dan berkilau, proses pembesaran struktur asas kristal secara tiga dimensi perlulah dilakukan dalam keadaan yang sangat perlahan.

Persekitaran penghasilan Kristal

Sebagai contoh, perubahan suhu yang diberikan kepada proses pembuatan kristal tidak boleh dilakukan secara mendadak dan juga perlu dilindungi dari bahan cemar atau atom-atom lain yang mungkin menganggu pembentukan dan ketulenan struktur kristal. Selain daripada itu, persekitaran yang stabil tanpa gegaran akan memberikan impak kepada pembentukan struktur dan kejernihan kristal. Implikasinya, semakin cantik dan besar kristal yang terhasil, semakin lama masa dan persekitaran yang sangat ideal diperlukan. Metaforanya, susunan geometri kristal boleh disamakan dengan sarang lebah yang tersusun berlapisan membentuk satu corongan yang cantik. Corak susunan sarang lebah, adalah salah satu contoh daripada corak susunan kristal dari jenis heksagonal dan ia dipelajari dalam teori Kristalografi.

Batuan Kristal

Selain daripada kristal buatan, batuan kristal semulajadi seperti Musgravite, Jadeite, Alexandriete adalah antara batuan kristal yang sangat cantik dan dijual dengan harga yang sangat tinggi di pasaran dunia.

Secara alami, pembentukan susunan atom kristal yang seragam secara tiga dimensi, yang berlapis-lapis ini memerlukan masa, suhu dan persekitaran yang sangat kondusif, bersih dan stabil bagi

membentuk satu imej kristal semulajadi yang sangat berkualiti. Jadi, tidak menghairankan, batuan kristal semulajadi hanya dijumpai di gua-gua atau di tempat-tempat yang terlindung. Lihatlah, betapa indahnya gua kristal yang terbesar di dunia ( Giant Crystal Cave) yang terletak di Naica, Chihuahua, Mexico. Gua ini dipenuhi oleh kristal Selenite iaitu kristal yang terbentuk secara semulajadi daripada mineral Gypsum.

Kristal dan kegunaannya

Kegunaan susunan kristal tidak terhad pada kecantikan dan lutsinarnya pada pandangan fizikal. Susunan kristal yang berbeza akan memberi sifat kimia yang berbeza. Misalnya, susunan kristal bagi Paracetamol yang digunakan dalam perubatan adalah berbentuk monoklinik. Walaupun begitu, terdapat susunan kristal lain bagi Paracetamol, iaitu ortorombik, namun susunan ini, menyebabkan Paracetamol, tidak boleh dibentuk menjadi pil. Menarik bukan!

Oleh itu, adalah tidak menghairankan, dalam perubatan Cina dan masyarakat Kuno Sumarian, kristal digunakan dalam formalasi perubatan tradisional mereka dan sejak berkurun lamanya. Bagi seorang ahli kimia atau jurutera kimia, senibina molekul kristal, memberi seribu makna bagi merungkai pelbagai eksplorasi kajian kimia. Indahnya hidup, jika susunannya seperti kristal, teratur dan tersusun untuk mudah dirancang dan dilalui.

— BERNAMA

ChM. Dr. Hamizah Mohd Zaki merupakan Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Gunaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat