DAP, pengimbang Johor ajak BN sama-sama selesaikan masalah banjir – Chin Tong

KUALA LUMPUR -Barisan Nasional (BN) perlu menyatakan komitmen untuk atasi masalah banjir terutamanya selepas Adun Pembangkang Johor (Pengimbang) kemukakan pelbagai idea dan cadangan.

Adun Perling Liew Chin Tong berkatq, banjir di Johor merupakan satu masalah besar. Setakat ini usaha Kerajaan Negeri masih belum dapat mengatasi kemelut ini.

“Saya berharap BN, khususnya para pemimpin penyandang kerajaan, dapat menjelaskan kepada Bangsa Johor apa yang telah mereka laksanakan untuk menangani banjir, dan mengapa masalah ini terus berlaku walaupun BN berjanji untuk menyelesaikannya.

“Bagi pihak Pengimbang, saya bersama Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Johor sentiasa membangkitkan isu ini, malah turut mengemukakan pelbagai cadangan kepada Kerajaan Negeri BN.

“Pada Mac 2023, daerah Segamat mengalami banjir besar, antara yang terburuk di Johor, khususnya di Chaah. Para sukarelawan Unit Tindak DAP berkampung di Chaah selama beberapa minggu untuk membersihkan pekan tersebut. Agensi-agensi Persekutuan dan Negeri turut membantu mangsa-mangsa banjir.

“Pada Mac 2025, lebih 1,000 keluarga di dalam kawasan saya DUN Perling menjadi mangsa banjir besar. Banyak rumah yang rosak. Bersama pasukan saya, kami menghulurkan pelbagai bantuan untuk mangsa, termasuk makanan dan minuman, tilam, dan barangan elektrik.

“Saya sendiri telah mengharungi air banjir kilat di banyak kawasan seperti Kampung Pasir and Taman Tampoi Indah. Pasukan saya sentiasa berada di kawasan-kawasan yang terjejas untuk membantu mangsa banjir,” kata Timbalan Menteri Kewangan itu.

Chin Tong yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri berkata, bagi penduduk Johor, banjir bermakna rumah mereka rosak teruk, peralatan perniagaan mereka musnah, dan ramai tidak dapat pergi bekerja, termasuk hilang pendapatan bagi mereka yang bergaji harian. Tentunya tekanan emosi meresahkan para penduduk setiap kali hujan lebat tanpa henti.

“Apabila BN mengumumkan hasrat untuk menumpukan kepada idea-idea dasar, dalam usahanya untuk menghadapi pilihan raya negeri kali ini, saya mengalu-alukan niat tersebut.

“Malah, saya ingin menyumbangkan cadangan-cadangan, khususnya yang telah saya kemukakan sepanjang empat tahun dalam penggal Dewan Negeri yang lepas.

“Antaranya pihak berkuasa tempatan perlu gigih berusaha membersihkan longkang-longkang dam laluan air yang tersumbat serta sungai-sungai yang dipenuhi daun dan ranting mati serta sampah. Walaupun Dato’ Menteri Besar pada mulanya menggalakkan sesi gotong-royong yang dijadikan seperti pesta pada 2023, selepas itu ia kurang diberi perhatian.

“Johor Bahru sebagai sebuah bandaraya antarabangsa perlu mewujudkan sistem perparitan yang lebih sistemik terutamanya dengan pelbagai projek pembangunan baru. Sistem longkang dan pengaliran air perlu ditambah baik secara holistik untuk membolehkannya menangani hujan lebat, air pasang, dan kesan perubahan iklim.

“Semua pembangunan yang melibatkan perumahan, industri, dan pusat data mesti diteliti sepenuhnya bagi memastikan tiada kontraktor culas dapat mengelakkan diri daripada peraturan dan undang-undang. Akhir-akhir ini, pembersihan tanah (land clearing) untuk membina pusat data telah mengakibatkan banjir selepas hujan lebat di beberapa tempat.

“Tebatan banjir tidak boleh bergantung kepada solusi kejuruteraan sahaja. Johor perlu memastikan solusi berasaskan alam semulajadi seperti menanam semula pokok, menghidupkan kembali tanah lembab dan paya bakau, dan menuai air hujan, yang boleh diselaraskan bersama dengan perancangan bandar yang lebih baik dan berkesan.

“Semua Adun dan Ahli Parlimen Johor perlu menduduki jawatankuasa bencana alam di peringkat daerah bagi memastikan mereka dapat membantu persediaan, tindakan, dan komunikasi setiap kali berlaku banjir.

“Jawatankuasa Pilihan Masalah Iklim, Perancangan Bandar, dan Luar Bandar yang dianggotai wakil kerajaan dan pengimbang perlu ditubuhkan di peringkat Dewan Negeri untuk menyediakan Pelan Tindakan Banjir dan Perubahan Iklim Johor. Andaian lama tentang cuaca tidak boleh lagi dijadikan asas kerana perubahan iklim telah mengubah segala-galanya, sama ada hujan di luar musim atau cuaca panas tidak mengikut masa. Terima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana menerima sebahagian daripada cadangan saya ini yang telah diwujudkan melalui Jawatankuasa Pilihan Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana,” kata beliau.

Namun menurut Chin Tong, ia masih belum mencukupi.

“Bangsa Johor berhak untuk mengetahui sejauh mana kesungguhan dan komitmen Barisan Nasional untuk mengatasi banjir berikutan kegagalannya berbuat demikian walaupun telah lama menjadi kerajaan.

“Malah pihak Pengimbang cuba membantu kerajaan dengan mengemukakan pelbagai cadangan untuk menangani isu penting ini.

“Mari kita sama-sama berganding bahu menyelesaikan masalah banjir,” seru beliau.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat