KUANTAN – Pemuda UMNO Pekan meluahkan kekesalan terhadap reaksi segelintir pihak yang didakwa memutarbelit kenyataan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkaitan tindakan Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui, dalam isu penguatkuasaan kebun durian haram di Raub baru-baru ini.
Menurut Ketua Pemuda UMNO Pekan, Mohd Fakhrul Akhmal Mohamed, kenyataan MB Pahang itu telah disalah tafsir dan diulas secara tergesa-gesa, tanpa mengambil kira konteks sebenar.
“Kenyataan Wan Rosdy menjengah ke dimensi baharu apabila ‘diserang’ seperti tiada hari esok,” ujarnya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, tindakan tegas yang diambil terhadap pekebun haram di Sungai Ruan, Raub tidak akan berlaku tanpa komitmen politik dan ketegasan keputusan daripada Menteri Besar sendiri.
“Umum mengetahui, kegiatan penerokaan haram atas nama pertanian ini sudah berlarutan selama puluhan tahun dan menyebabkan kerugian besar kepada kerajaan negeri dan Persekutuan, terutamanya dari segi hasil cukai.”
Mohd Fakhrul turut menegaskan bahawa kerajaan negeri Pahang di bawah pimpinan Wan Rosdy komited dalam usaha memelihara kawasan hutan. Pada November lalu, MB Pahang memberi jaminan bahawa kawasan berhutan seluas 2.06 juta hektar – iaitu 57 peratus daripada keseluruhan negeri – akan terus dipelihara.
Daripada jumlah itu, 1.6 juta hektar merupakan Hutan Simpanan Kekal (HSK) yang diurus di bawah Amalan Pengurusan Hutan Secara Berkekalan (SFM), manakala 645,751 hektar (40%) telah diwartakan sebagai hutan perlindungan yang tidak boleh disentuh.
“Fakta ini meletakkan Pahang sebagai penyumbang terbesar kawasan berhutan dalam kalangan negeri di Semenanjung,” katanya.
Beliau turut mengingatkan rakyat agar tidak terlalu mudah membuat tafsiran yang dipengaruhi sentimen atau persepsi semata-mata.
“Apa guna komitmen demi komitmen, fakta demi fakta, dan pencapaian demi pencapaian andai rakyat kita memilih untuk mendahulukan sentimen dan tafsiran tanpa asas.”
“Janganlah dek kerana kita terlalu rakus dalam menghukum, kita keliru antara kebenaran dengan kebebalan,” tegasnya.