KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Datuk Puad Zarkashi menggesa Bersatu menyahut cabaran Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS dan Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Sanusi Md Mor untuk membuktikan parti itu ada salurkan dana kepada Pas sewaktu berdepan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Puad malah meyakinkan Bersatu agar tidak bimbang memandangkan Akta Dana Politik belum wujud.
“Bersatu mesti sahut cabaran Sanusi. Buktikan, Bersatu memang ada bagi dana politik kepada Pas. Berapa dan kepada siapa disalurkan?
“Sanusi menafikan Bersatu ada bagi dana politik. Katanya Pas guna sumber “tin milo”. Menjadi persoalan ialah, cukup ke duit kutipan tin milo? Walhal kos kempen setiap Parlimen amat mahal. Sanusi kata, “1 Parlimen 1 Juta”.
“Semoga Bersatu keluarkan butiran terperinci. Bersatu jangan bimbang. SPRM tidak kacau kerana akta dana politik belum wujud. Sebab itu SPRM tidak siasat,” kata Puad.



