KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menolak dakwaan mengamalkan siasatan dua darjat berhubung isu perbelanjaan Projek Jalan Luar Bandar (JALB), sambil menegaskan siasatan dijalankan secara profesional tanpa mengira kedudukan atau latar belakang individu.
SPRM berkata, dakwaan bahawa suruhanjaya itu mengamalkan pilih kasih dalam siasatan adalah tidak berasas dan tidak mencerminkan prinsip profesionalisme, integriti serta tatacara kerja yang menjadi pegangan agensi berkenaan.
Menurut kenyataan media SPRM pada Jumaat, siasatan berhubung isu perbelanjaan projek JALB yang membabitkan sebuah kementerian dimulakan pada 7 Oktober lalu.
Setakat ini, seramai 20 saksi daripada pelbagai kementerian dan agensi berkaitan sudah dirakam percakapan bagi membantu siasatan.
SPRM berkata, siasatan masih diteruskan dan semua maklumat serta keterangan yang diperoleh sedang diteliti bagi memastikan setiap aspek kes disiasat secara menyeluruh.
“Setiap siasatan dijalankan berdasarkan fakta, bukti dan peruntukan undang-undang, tanpa mengira kedudukan, pangkat atau latar belakang individu,” menurut kenyataan itu.
SPRM turut menegaskan pihaknya menghormati hak semua pihak untuk menyuarakan pandangan, kritikan dan teguran, namun sebarang dakwaan perlu berlandaskan fakta sahih serta disampaikan secara bertanggungjawab, bukan berdasarkan persepsi atau andaian semata-mata.
Suruhanjaya itu menegaskan komitmennya untuk menjalankan tanggungjawab secara profesional, bebas, adil dan telus bagi memastikan prinsip kedaulatan undang-undang terus dipelihara.
Kenyataan itu menyusul selepas Penasihat DAP Lim Guan Eng, membangkitkan dakwaan wujudnya siasatan dua darjat berhubung isu berkenaan.
Projek JALB yang menjadi perhatian itu dikendalikan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), diterajui Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Isu berkenaan tercetus susulan dakwaan perbelanjaan JALB melebihi peruntukan sebanyak RM2.1 bilion yang dibangkitkan Ahli Parlimen Kampar Chong Zhemin, sebelum beliau membuat laporan kepada SPRM pada 6 Oktober lalu.
Siasatan dibuka sehari kemudian, manakala Zahid menafikan dakwaan lebihan perbelanjaan itu dengan menjelaskan perbelanjaan KKDW bagi projek berkenaan dari 2023 hingga 2025 masih berada di bawah jumlah peruntukan selepas pindaan.
Peruntukan asal sekitar RM3.982 bilion dilaporkan diselaraskan kepada RM6.143 bilion bagi tempoh 2023 hingga 2025.
Pada 29 Oktober lalu, kerajaan turut mengumumkan peningkatan peruntukan JALB kepada RM3.1 bilion bagi 2026 berbanding peruntukan asal RM2.11 bilion.


