Anwar beri jaminan kepada Sultan Selangor, Kerajaan Madani tidak sesekali korbankan maruah Kg Baru

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim beriltizam memastikan pembangunan Kampung Baru benar-benar membawa manfaat kepada rakyat tanpa mengorbankan maruah, hak dan sejarah yang merupakan kepentingan nasional.

“Alhamdulillah, saya menyambut baik kenyataan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung latar sejarah, masa depan dan hala tuju kawasan Kampung Baru.

“Pandangan ini selari dengan pendirian Kerajaan Madani yang teguh menekankan keperluan menghargai warisan sejarah serta merangka pembangunan yang adil dan seimbang,” ikrar Anwar.

Tegas Menteri Kewangan merangkap Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu lagi, kerajaan berpegang teguh bahawa setiap keputusan mesti berpaksi pada aspek kesejahteraan rakyat serta kelangsungan identiti masyarakat.

“Sebagai Pengerusi Majlis Perumahan Mampu Milik Negara, saya tetap beriltizam memastikan pembangunan benar-benar membawa manfaat kepada rakyat tanpa mengorbankan maruah, hak dan sejarah yang merupakan kepentingan nasional,” jamin Anwar.

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini menegaskan sesungguhnya Kampung Baru adalah simbol kebangkitan orang Melayu sejak tahun 1900.

Justeru, Sultan Sharafuddin menyatakan bahawa Kampung Baru memainkan peranan penting kepada kelangsungan dan maruah orang Melayu di Kuala Lumpur.

Maka baginda bertitah, sebarang keputusan atau usaha-usaha pembangunan di Kampung Baru harus mengambil kira kepentingan orang Melayu untuk waktu ini dan juga untuk jangka masa panjang.

“Beta ingin memberi pandangan berhubung isu pembangunan semula tanah di Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur. Selepas membaca maklum balas daripada pelbagai pihak, Beta mahu agar isu ini dikendalikan secara teliti dan berhemah dengan keutamaan harus diberikan kepada kepentingan orang Melayu.

“Beta tiada halangan sekiranya kawasan Kampong Baru hendak dibangunkan seiring dengan peredaran zaman, namun syarat-syaratnya harus jelas dan berpihak kepada orang Melayu.

“Sebab itu, Beta mahu dalam setiap butir pertimbangan yang dilakukan oleh semua pihak berkaitan mengenai hal ini, sejarah asal penubuhan dan warisan kawasan Kampung Baru harus diambil kira,” tegas baginda.

Sultan Sharafuddin bertitah, Kampung Baru telah ditubuhkan pada tahun 1899 dan diiktiraf sebagai penempatan masyarakat Melayu untuk tujuan pertanian, hasil kurniaan daripada nenda baginda, Sultan Selangor Ke-5, Almarhum Sultan Sir Alaeddin Sulaiman Shah Ibni Almarhum Raja Muda Musa melalui Warta Kerajaan Negeri Selangor bertarikh 12 Januari 1900 sebagai rizab Malay Agricultural Settlement (M.A.S).

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat